Google hari ini telah mengumumkan barisan baharu Google Pixel iaitu Google Pixel 4a 5G dan juga Pixel 5 yang juga terdapat rangkaian 5G dan kedua-dua peranti terbaru ini turut dijana dengan cip pemproses Snapdragon 765G.
Google Pixel 4a 5G dan Pixel 5 kedua-duanya menggunakan paparan jenis OLED FHD+ bersama paparan 90Hz yang hanya ditawarkan pada Google Pixel 5 sahaja. Untuk Pixel 4a 5G hanya paparan 60Hz sahaja.
Google Pixel 4a 5G hadir dengan kapasiti 6GB RAM dan storan 128GB. Kapasiti bateri 3885mAh dengan pengecasan pantas. Masih mengekalkan bicu audio 3.5mm, skrin bersaiz 6.2-inci dan tidak menyokong pengecasan tanpa wayar.
Untuk Google Pixel 5 ia menggunakan kapasiti 8GB RAM dan 128GB storan. Bateri 4080mAh menyokong pengecasan pantas tanpa wayar, skrin bersaiz 6.0-inci, menyokong pengecasan tanpa wayar berkongsi, dan tiada bicu audio.
Pada bahagian kamera, kedua-dua model menggunakan dwi-kamera dengan kamera utama 12MP dwi-piksel f/1.7 dan 16MP ultra sudut lebar f/2.2. Manakala bahagian hadapan, terdapat kamera Swafoto 8MP f/2.0.
Untuk keselamatan pula kedua-dua menggunakan pengimbas cap jari di bahagian belakang. Pembesar suara jenis stereo juga masih dikekalkan. Harga pasaran bagi Pixel 4a 5G 6/128 adalah $499 (RM2,073) dan Pixel 5 8/128GB pula $699 (RM2,904).