Close

Samsung umumkan Exynos 2200 dengan GPU Xclipse berasaskan AMD RDNA2

 


Samsung hari ini mengumumkan cip mercu mereka yang seterusnya iaitu Exynos 2200. Dibangunkan dengan teknologi binaan 4nm dan merupakan cip pertama yang disepadukan dengan teras Armv9. Dilengkapi dengan lapan teras, satu teras Cortex-X2, tiga teras Cortex-A710 dan empat teras Cortex-A510.


Perkara menarik pada Exynos 2200 adalah ia dibina berdasarkan platform terbaru dengan teknologi EUV 4nm yang dilengkapi dengan GPU Xclipse berasaskan seni bina AMD RDNA2. GPU Xclipse merupakan cip pemproses grafik hibrid yang dibangunkan berdasarkan dari grafik konsol dan disepadukan ke dalam cip mudah alih. Antara konsol yang menggunakan AMD RDNA2 adalah seperti PlayStation 5, Xbox Series X, dan Xbox Series S.

Selain itu, ISP pada Exynos 2200 turut menyokong resolusi kamera sehingga 200MP untuk mod tunggal, pada 108MP ia mampu merakam pada 30fps. Dalam mod dwi kamera ia menyokong tetapan 64MP+32MP. Samsung turut mendakwa, ISP pada Exynos mampu menjalankan sehingga tujuh sensor dengan empat sensor boleh bekerja secara serentak.


Spesifikasi lain yang dibawa oleh Exynos 2200 adalah rakaman video sehingga 8K, paparan 4K 120Hz atau QHD+ 144Hz, menyokong RAM LPDDR5, storan UFS 3.1, dan modem 5G dengan frekuensi sub-6GHz dan mmWave.

Exynos 2200 semestinya akan digunakan pada siri Galaxy S22, dan buat masa ini tiada lagi sebarang tarikh rasmi diumumkan oleh Samsung berkenaan hari pelancaran bagi siri Galaxy S22. Sebelum ini terdapat laporan ia mungkin akan dilancarkan pada 8 Februari.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN