Nothing Technologies melalui acara “The Truth” secara rasminya mengesahkan perancangan mereka untuk melancarkan telefon pintar pertama mereka iaitu Nothing Phone (1) pada musim panas 2022. Bagi yang masih tidak mengetahui, Nothing diasaskan oleh bekas pengasas bersama OnePlus iaitu Carl Pei.
Pada acara tersebut, Carl Pei telah berkongsi beberapa butiran penting mengenai perisian yang akan digunakan pada Nothing Phone (1). Di mana peranti tersebut akan hadir dengan sistem operasi berasaskan Android yang dikenali sebagai Nothing OS. Menjanjikan kemaskini Android sehingga tiga tahun dan kemaskini keselamatan empat tahun.
Menurut Carl Pei, Nothing OS dibina di atas ekosistem yang terbuka dan lancar sekaligus memberikan pengalaman yang pantas dan lancar. Antaramuka yang digunakan juga hampir sama seperti Stock Android namun dengan ciri yang lebih interaktif antara ciri yang disebut adalah fon, warna, elemen grafik dan bunyi.
Walaupun Nothing Phone (1) akan dilancarkan pada musim panas ini, namun versi awal Nothing OS akan tersedia lebih awal melalui aplikasi launcher. Nothing juga mengesahkan yang aplikasi tersebut boleh dimuat turun pada model terpilih bermula April ini.
Buat masa ini, Nothing tidak memberikan sebarang maklumat mengenai spesifikasi telefon pintar pertama mereka. Namun sebelum ini, Nothing tanpa berselindung menyatakan kerjasama bersama Qualcomm sekaligus mengandaikan ia mungkin akan dijana oleh Snapdragon 8 Gen 1.