Pada awal tahun lalu, Ming Chi Kuo buat pertama kalinya melaporkan bahawa beberapa model iPhone 14 berkemungkinan akan hadir dengan cip A15. Kemudiannya laporan ini disokong oleh 9to5Mac dan kini TrendForce pula mengesahkan laporan ini dengan menyatakan hanya model iPhone 14 Pro sahaja akan hadir dengan cip A16.
Merujuk dari laporan yang dikeluarkan oleh TrendForce, Apple seperti biasa akan melancarkan empat varian iPhone 14 pada separuh kedua 2022. Namun, hanya model iPhone 14 Pro sahaja akan hadir dengan cip A16 dan selebihnya akan kekal dengan cip A15.
Menurut laporan itu lagi, model iPhone 14 dan iPhone 14 Max akan menggunakan cip A15 namun ia akan hadir dengan memori RAM yang lebih besar iaitu 6GB LPDDR4X iaitu 2GB RAM lebih besar dari yang digunakan pada model semasa.
Walaupun pada permulaan laporan ini dilihat sedikit janggal, berdasarkan dari sejarah Apple yang tidak pernah menggunakan cip semasa pada peranti baharu mereka. Namun selepas beberapa laman web yang dipercayai menyatakan perkara yang sama ia mula dirasakan sebagai satu realiti dan bukan lagi sebuah fantasi.
Jika ia benar terjadi, jurang antara varian standard dan varian Pro akan menjadi lebih ketara yang mana sebelum ini ia dipisahkan dari beberapa faktor sahaja. Buat masa ini Apple belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini. Ia mungkin berkaitan dengan masalah kekurang cip atau Apple hanya mengambil kesempatan dalam kesulitan.