Close

Sony Xperia 5 IV dilancarkan – Snapdragon 8 Gen 1 dan tri-kamera 12MP Zeiss dengan harga mencecah RM4,480

Sony telah melancarkan pengganti kepada Xperia 5 III iaitu Xperia 5 IV. Membawakan beberapa peningkatan dari segi spesifikasi dan kemampuan kamera namun masih mengekalkan reka bentuk yang kompak.

Dari segi fizikal, Xperia 5 IV membawakan skrin bersaiz 6.1-inci OLED FHD+, paparan 120Hz dengan aspek ratio 21:9. Peranti ini juga dikatakan 50% lebih terang berbanding model sebelum ini.

Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 yang dipadankan dengan RAM sehingga 8GB dan storan dalaman sehingga 128GB. Bateri sebesar 5000mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas 30W dan juga pengecasan tanpa wayar.

Sony sentiasa menawarkan pengalaman fotografi yang terbaik pada peranti mereka. Melaluinya, Sony membawakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 12MP  f/1.7, 24mm + 12MP ultra lebar f/2.2, 16mm + 12MP telefoto f/2.4, 60mm. Manakala untuk kamera swafoto ia hadir dengan sensor 12MP. Kamera peranti ini turut diintegrasikan dengan beberapa ciri kamera daripada kamera siri alpha.

Ciri lain yang turut dibawakan adalah seperti pembesar suara jenis stereo, pengimbas cap jari pada butang kuasa, penarafan IP68, pelindung gorilla glass victus, bicu audio 3.5mm dan lain-lain.

Xperia 5 IV ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Green, Black, dan Ecru White. Di Amerika Syarikat peranti ini dijual pada tanda harga RM4,480 ($999) dan mula tersedia pada pertengahan September. Tiada sebarang maklumat mengenai ketersediaan peranti ini untuk pasaran tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN