Siri Asus ROG Phone merupakan peranti yang memfokuskan kepada permainan. Bukan itu sahaja, Asus ROG Phone juga telah berjaya mengubah lanskap peranti gaming dengan membawakan pelbagai peningkatan dari segi spesifikasi, kemampuan dan juga rekaan yang luar biasa.
Walaupun tidak membawakan perubahan ketara dari segi reka bentuk pada ROG Phone 6, namun ia masih membawakan identitinya yang tersendiri tidak ketinggalan ia turut membawakan pelbagai peningkatan dari segi spesifikasi.
Oleh yang demikian, kami ingin berkongsi mengenai tiga perkara yang menarik dan tiga perkara kurang menarik yang ada pada Asus ROG Phone 6.
Tiga perkara menarik :
Cip Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1
Peranti ini dijana dengan cip Qualcomm Snapdragon 8 + Gen 1 yang juga merupakan peranti pertama yang ada di pasaran Malaysia hadir dengan penawaran sebegitu. Dari segi prestasi, tidak perlu diulas terlalu panjang, cip ini sememangnya sangat berkuasa.
Secara keseluruhan, prestasi yang dibawakan oleh ROG Phone 6 sememangnya sangat baik. Pengalaman penggunaan seperti penukaran aplikasi sangat lancar tanpa sebarang masalah biarpun menjalankan lebih dari 10 aplikasi di belakang.
Antara permainan yang kami telah cuba pada ROG Phone 6 adalah seperti PUBG, Genhsin Impact, ML dan beberapa lagi. Kesemua permainan tersebut boleh dimainkan secara tetapan tinggi dan boleh dimainkan tanpa sebarang masalah. Namun begitu, ada sesetengah permainan masih lagi tidak menyokong 90 FPS.
Kamera
Jika sebelum ini pada siri ROG Phone 5 boleh dikatakan kemampuan kamera hanyalah sekadar biasa sahaja. Namun, pada ROG Phone 6, Asus telah menambah-baik beberapa perkara dan berjaya memberikan hasil fotografi yang lebih baik.
Melalui percubaan yang kami lakukan, hasil yang diberikan adalah lebih dari jangkaan kami untuk sebuah peranti yang memfokuskan kepada permainan. Untuk gambar dengan cahaya yang cukup tiada sebarang masalah yang dihadapi. Imej yang dihasilkan adalah sangat baik dan terperinci.
Manakala untuk situasi kurang cahaya, imej dihasilkan boleh dikatakan agak baik dengan keperincian imej dapat dikekalkan serta warna yang dihasilkan memuaskan. Selain itu, peranti ini juga turut menyokong rakaman sehingga 8K.
Sistem Operasi
Ia mungkin sesuatu yang jarang diperkatakan secara umum, namun dari pendapat saya sistem operasi yang digunakan pada ROG Phone 6 ini merupakan satu dari tiga perkara menarik padanya.
Peranti ini menjalankan sistem operasi ROG UI yang berasaskan Android 12. Melaluinya Asus berjaya menawarkan pengalaman sistem operasi yang sangat lancar dan pantas. Antaramuka yang seakan Android Asli menjadikan ia seperti Google Pixel versi permainan.
Tiga perkara kurang menarik :
Sebuah peranti yang berat
Masalah utama pada ROG Phone 6 bukanlah pada prestasinya, tetapi pada beratnya. Mempunyai berat sekitar 239g menjadikan ia terasa seperti memegang dua buah peranti pada sebelah tangan.
Pada permulaan penggunaan, ia terasa berat namun selepas beberapa ketika digunakan masalah berat seperti hilang begitu sahaja. Namun, untuk penggunaan jangka masa panjang mungkin akan memberi kesan.
Pengecasan pantas masih 65W
Biarpun ketika ini kita sudah ada peranti yang menyokong pengecasan pantas sehingga 160W. Namun, Asus masih lagi mengekalkan pengecasan pantas 65W yang sama seperti pada siri ROG Phone 5.
Kami menjangkakan, Asus mungkin akan menggunakan pengecasan pantas yang lebih tinggi pada ROG Phone 6 namun perkara tersebut tidak berlaku. Mungkin Asus mempunyai sebab sendiri untuk mengekalkan pengecasan pantas 65W.
Kemaskini
Kebanyakkan pengeluar menawarkan kemaskini sehingga tiga tahun untuk kemaskini utama dan empat tahun kemaskini keselamatan. Namun, Asus hanya menawarkan dua tahun kemaskini utama dan dua tahun kemaskini keselamatan.
Dengan hanya dua tahun kemaskini utama, ROG Phone 6 mungkin bukan pilihan utama bagi pengguna yang mementingkan kemaskini utama. Namun, perlu diingatkan peranti ini memfokuskan kepada permainan dan ia mungkin bukan masalah utama buat bakal pengguna.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, ROG Phone 6 boleh dikatakan sebagai sebuah peranti permainan yang terbaik ada di pasaran ketika ini. Dengan penawaran spesifikasi mengagumkan yang digabungkan dengan beberapa ciri permainan menjadikan ia seperti konsol mudah alih.
Tidak ketinggalan, dengan akesori tambahan yang dibawa menjadikan ROG Phone 6 ini lebih seronok untuk digunakan ketika bermain. Secara keseluruhan, ROG Phone 6 boleh dianggap sebuah peranti permainan yang terbaik pernah digunakan.