Terkini, spesifikasi penuh bagi Google Pixel 7 dan Google Pixel 7 Pro dilaporkan telah tertiris, sekaligus mengesahkan beberapa spesifikasi lain yang akan hadir pada siri Google Pixel 7.
Untuk Google Pixel 7, ia akan dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.3-inci OLED FHD+ dengan paparan 90Hz. Dijana cip Google Tensor G2 yang dipadankan dengan 8GB RAM dan storan dalam sehingga 256GB. Bateri mampu bertahan sehingga 24 jam yang turut menyokong pengecasan pantas berwayar dan tanpa wayar.
Untuk kemampuan kamera, ia hadir dengan tetapan dwi-kamera dengan sensor utama 50MP sudut lebar + 12MP ultra sudut lebar. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor 10.8MP. Ciri kamera yang dibawakan adalah zum digital sehingga 8X, Real Tone dan Movie Motion Blur.
Manakala untuk Google Pixel 7 Pro pula, ia akan dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.7-inci OLED LTPO QHD+ dengan paparan 120Hz. Dijana cip Google Tensor G2 yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalam sehingga 256GB. Bateri mampu bertahan sehingga 24 jam yang turut menyokong pengecasan pantas berwayar dan tanpa wayar.
Dari segi kamera, Google Pixel 7 Pro hadir dengan tetapan tri-kamera dengan sensor utama 50MP sudut lebar + 12MP ultra sudut lebar + 48MP telefoto. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor 10.8MP. Ciri kamera yang dibawakan adalah zum optikal sehingga 5X dan zum digital sehigga 30X. Turut menyokong ciri Macro Focus, Real Tone dan juga Movie Motion Blur.
Ciri lain yang turut dibawakan pada siri Google Pixel 7 adalah seperti penarafan IP68, cip Titan M2 dan pengimbas cap jari dan wajah. Google telahpun menjadualkan acara pelancaran siri Google Pixel 7 pada 6 Oktober ini.