Honor secara rasmi mengesahkan yang mereka akan mengambil bahagian di acara Mobile World Congress 2023 (MWC) yang akan berlangsung di Barcelona pada 27 Februari ini.
Pada acara tersebut, Honor akan memperkenalkan dua peranti iaitu Honor Magic5 dan juga Honor Magic Vs. Yang mana, untuk Honor Magic Vs ia telahpun dilancarkan pada tahun lalu dan hanya tersedia untuk pasaran China.
Honor Magic Vs dilengkapi dengan skrin dalaman bersaiz 7.9-inci OLED dengan paparan 90Hz, untuk skrin luaran pula ia dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.45-inci OLED dengan paparan 120Hz. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang dipadankan dengan RAM sehingga 12GB dan sotoran dalaman sehingga 512GB. Bateri 5000mAh yang turut menyokong pengecasan pantas Honor SuperCharge 66W.
Manakala untuk siri Honor Magic5, buat masa ini tiada sebarang maklumat yang didedahkan mengenai spesifikasi yang akan digunakan. Namun, berdasarkan dari poster yang dikongsi dengan slogan “Unleash the Power of Magic” kami menjangkakan peranti ini akan hadir dengan sejumlah peningkatan besar dari model sebelumnya. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.