Siri ASUS ROG Phone 7 nampaknya telah berada di fasa akhir dan berkemungkinan akan dilancarkan dalam masa terdekat. Yang mana, model tersebut telahpun dikesan pada aplikasi penanda aras GeekBench.
Skor penanda aras pertama dikatakan sebagai ASUS ROG Phone 7D yang dikesan melalui aplikasi tersebut dengan menggunakan ID Asus AI2205_D. Berdasarkan dari data yang diperolehi, skor penanda aras untuk peranti tersebut mencapai 2012 untuk teras tunggal dan 5697 untuk teras pelbagai.
Terdapat satu lagi skor penanda aras yang turut dikesan dan dikatakan sebagai ASUS ROG Phone 7. Peranti tersebut dikesan menggunakan ID ASUS AI2205_B. Mencatatkan skor penanda aras 2022 untuk teras tunggal dan 5719 untuk teras pelbagai. Kedua-dua skor penanda aras dilihat tidak membawakan perbezaan yang ketara.
Selain skor penanda aras, aplikasi tersebut turut mengesahkan yang siri ASUS ROG Phone 7 akan dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang dipadankan dengan 16GB RAM dan akan menjalankan sistem operasi yang berasaskan Android 13.
ASUS dijangka akan membawakan tiga varian ROG Phone 7 iaitu ROG Phone 7, ROG Phone 7D dan juga ROG Phone 7 Ultimate. Peranti ini dijangka akan dilancarkan pada suku ke-3 tahun 2023.