Sumber : OnLeaks x SmartPrix |
Google buat masa ini belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai pelancaran siri Google Pixel 8. Tarikh paling hampir untuk dilancarkan adalah pada acara Google I/O yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.
Terbaru, imej rekaan siri Google Pixel 8 dilaporkan telah tertiris. Memperlihatkan rekaan kedua-dua model iaitu Google Pixel 8 dan Google Pixel 8 Pro. Untuk Google Pixel 8 Pro, ia dilihat akan hadir dengan rekaan skrin yang lebih rata berbanding pada Google Pixel 7 Pro. Rekaan bezel juga dikatakan lebih nipis dengan bingkai yang lebih bulat untuk memberikan keselesaan yang lebih ketika dipegang.
Sumber : OnLeaks x SmartPrix |
Rekaan kamera belakang juga turut hadir dengan sedikit perubahan, yang mana sensor kamera kini disusun dalam satu ruang yang sama. Selain itu, dapat dilihat terdapat satu sensor baharu yang diletakkan dibawah lampu LED flash.
Sumber : OnLeaks x SmartPrix |
Sementara untuk Google Pixel 8, ia dilihat hadir dengan skrin jenis rata yang lebih kecil iaitu 5.8-inci berbanding Google Pixel 7 iaitu 6.3-inci. Bezel skrin juga dilihat lebih nipis dengan bingkai yang sama seperti Google Pixel 8 Pro. Dari segi fotografi, ia masih membawakan tetapan kamera yang sama tanpa sebarang penambahan sensor.
Sumber : OnLeaks x SmartPrix |
Dengan rekaan yang lebih kompak, Google Pixel 8 mungkin akan menawarkan kapasiti yang lebih kecil berbanding model semasa. Secara keseluruhan, rekaan siri Google Pixel 8 dilihat tidak membawakan perbezaan yang ketara dari dua model sebelumnya iaitu siri Google Pixel 6 dan siri Google Pixel 7.