Close

Canon EOS R100 kini tiba di Malaysia dengan harga RM2379

Canon Malaysia kini sedia untuk menawarkan kamera mirrorless baharu melalui model Canon EOS R100. Kamera ini merupakan model kelas permulaan, hadir dengan sensor APS-C dan turut menyokong kanta boleh tukar seperti kanta RF, RF-S, EF dan EF-S.

Canon EOS R100 ini, hadir dengan rekaan yang lebih ringan dan lebih kompak dengan berat sekitar 356 gram. Dilengkapi dengan skrin LCD TFT yang bersaiz 3-inci yang boleh dicondongkan bersama EVF dengan skrin OLED bersaiz 0.39-inci dengan resolusi 2.36 juta titik.

Kamera ini dilengkapi dengan sensor CMOS APS-C 24.1MP yang digabungkan dengan pemproses imej DIGIC 8. Selain itu, kamera ini turut menyokong Dual Pixel AF dengan 143 zon AF dan mempunyai keupayaan untuk mengesan wajah dan mata. Dari segi rakaman video, ia menyokong resolusi sehingga 4K pada 24 fps dan full-width 1080p pada 60 fps.

Spesifikasi lain yang turut dibawakan pada kamera ini adalah seperti sokongan Wi-Fi 2.4GHz, Bluetooth 5.2, port pengesan USB-C, port Micro HDMI, bicu audio 3.5 mm dan slot memori kad SD UHS-I. Untuk harga jualan, Canon EOS R100 ini ditawarkan pada harga RM2379 untuk body sahaja. Kamera ini turut ditawarkan dengan lensa kit RF-S 18-45mm f/4.5-6.3 IS STM yang dijual pada harga RM2899. Bagi yang berminat, kamera ini akan tersedia untuk dibeli bermula Julai ini.

ARTIKEL BERKAITAN