Samsung kembali menawarkan dua pilihan cip pada siri Galaxy S24. Dua pilihan cip tersebut adalah Snapdragon 8 Gen 3 dan Exynos 2400. Pilihan cip ini hanya tersedia untuk Galaxy S24 dan S24+ manakala Galaxy S24 Ultra hanya tersedia dalam 1 pilihan cip sahaja iaitu Snapdragon 8 Gen 3.

Cip Exynos 2400 dibina dengan teknologi 4nm dan dihasilkan oleh Samsung Semiconductor. Menggunakan seni bina ARMv9 yang turut menyokong RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.0.

Menggunakan konfigurasi 10 teras dengan 1x teras Cortex-X4 pada 3.2GHz, 2x teras Cortex-A720 pada 2.9GHz dan 3x teras Cortex-A720 pada 2.6GHz dan 4x teras Cortex-A520 pada 2.0GHz. Untuk prestasi grafik ia menggunakan GPU Xclipse 940 berasaskan AMD RDNA3. Cip Exynos 2400 menggunakan proses pemasangan baru yang dipanggil Fan-Out Wafer-Level Package (FOWLP).

Samsung menyatakan yang Exynos 2400 menawarkan peningkatan 1.7x pada pretasi CPU dan 14.7x pada pemprosesan AI. Kuasa pengkomputeran AI pada cip ini mampu mencapai 17K MAC NPU (2-GNPU + 2-SNPU). Dari segi ketersambungan Exynos 2400 menyokong sistem GPS, GLONASS, BeiDou dan Galileo. Manakala untuk kelajuan rangkaian, ia menyokong muat turun 9.64Gbps untuk WiFi dan 12.1Gbps untuk 5G.

Dari segi keupayaan kamera, cip ini mampu menyokong sehingga 320MP pada satu sensor dan menyokong rakaman imej dengan 4 kamera secara serentak. Mampu merakam video pada resolusi sehingga 4K pada 120fps atau 8K pada 30fps.