Galaxy Buds3 Pro boleh dikatakan sebagai era baru Samsung dalam segmen TWS. Hadir dengan idealogi yang berbeza dari apa yang pernah dihasilkan sebelum ini. Bukan itu sahaja, TWS ini turut dimuatkan dengan pelbagai peningkatan yang menarik.
Rekaan lebih menonjol
Galaxy Buds3 Pro tampil dengan rekaan yang berbeza dari apa yang pernah dihasilkan oleh Samsung. Menggunakan rekaan yang dipanggil sebagai Blade Design. Menarik mengenai rekaan ini, ia tampil dengan kemasan lutsinar pada bahagian penutup untuk menjadikan ia lebih menarik dan unik.
Bukan itu sahaja, rekaan earbuds turut menggunakan rekaan yang berbeza iaitu jenis bertangkai. Rekaan ini menjadikan ia lebih menonjol dan nampak lebih menarik. Terdapat lampu blade light yang akan menyala apabila dimasukkan ke dalam bekas pengecas. Pengguna juga boleh mengawal lampu ini melalui earbuds light controls.
Selain itu, setiap earbuds mempunyai kemasan berwarna pada bahagian bawah iaitu biru untuk kiri dan jingga untuk kanan, yang mana kemasan tersebut turut dipadankan pada bekas pengecas. Secara keseluruhan, rekaan Galaxy Buds3 Pro boleh dikatakan menarik dan ergonomik sesuai untuk digunakan dalam jangka masa yang panjang.
Kualiti bunyi yang dipertingkat
Berbeza dengan model sebelumnya, Galaxy Buds3 Pro kini hadir dengan kualiti bunyi yang lebih jelas dan lebih terperinci. Dilengkapi dengan sistem 2-way speakers dengan 10.5mm dynamic driver dan tweeter planar bersaiz 6.1mm.
Selain itu, ia turut menyokong Dual Amplifier untuk memberikan hasil audio yang lebih baik. Bukan itu sahaja, Galaxy Buds3 Pro ini turut hadir dengan sokongan codec audio tanpa wayar yang lebih maju yang dipanggil sebagai Samsung Seamless Codec Ultra High Quality (SSC UHQ). Codec baru ini menyokong pensampelan 24-bit 9KHz, AAC dan SBC.
Kombinasi dyanmic driver dan juga codec audio baru ini menjanjikan pengalaman audio yang lebih berkualiti dan lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Jangka hayat bateri lebih panjang
Selain hadir dengan kualiti bunyi yang dipertingkat, Galaxy Buds3 Pro turut menawarkan ketahanan bateri yang lebih baik dan lebih panjang dari model sebelumnya. Mampu bertahan sehingga 6 jam dengan mod ANC diaktifkan dan 7 jam dengan mod ANC dimatikan.
Sekiranya digunakan dengan bekas pengecas, ia mampu bertahan sehingga 26 jam dengan mod ANC diaktifkan dan meningkat kepada 30 jam dengan mod ANC dimatikan.
Galaxy AI
Bercakap mengenai kecerdasan buatan, Samsung turut membawakan fungsi Galaxy AI pada Galaxy Buds3 Pro. Antara fungsi yang ditawarkan adalah seperti live translate dan interpreter.
Untuk live translate, ia menterjemahkan bahasa dalam masa nyata ketika melakukan panggilan. Manakala interpreter pula, sama seperti live translate tetapi untuk perbualan secara bersemuka. Kedua-dua fungsi ini akan memaparkan perbualan yang diterjemah pada skrin telefon yang disambungkan dengan Galaxy Buds3 Pro. Melalui fungsi ini, ia dapat mewujudkan komunikasi dua hala yang lebih baik.
Bukan itu sahaja, Galaxy AI turut digunakan pada fungsi ANC yang akan diselaraskan mengikut kepada keadaan sekeliling. Lebih menarik, ini mampu bertindak secara automatik untuk menukar mod ANC kepada mod Ambient sebaik pengguna mula bercakap.
Ketahanan yang lebih baik
Berbeza dengan model sebelum ini yang hanya menawarkan ketahanan yang lebih rendah iaitu IPX7. Pada Galaxy Buds3 Pro, Samsung membawakan ketahanan yang lebih tinggi dan lebih baik melalui penarafan IP57. Penarafan ini menjadikan ia kalis debu dan air berbanding IPX7 yang hanya kalis air sahaja.
Dengan ketahanan dan penarafan yang lebih tinggi, ia menjadikan peranti ini sedikit lebih lasak dan pengguna tidak perlu risau jika terkena air atau terjatuh secara tidak sengaja.