HUAWEI secara rasmi memperkenalkan jam tangan pintar baru bagi menggantikan model semasa iaitu siri Watch GT 5. Tampil dengan dua pilihan varian iaitu Watch GT 5 dan Watch GT 5 Pro.
Watch GT 5 hadir dengan dua pilihan saiz skrin yang berbeza iaitu 1.32-inci untuk 41mm dan 14.3-inci untuk 46mm. Kedua-dua varian menggunakan skrin jenis AMOLED dan menyokong fungsi Always On Display (AOD).
Dari kecergasan dan kesihatan, ia hadir dengan teknologi TruSeen yang lebih maju yang meningkatkan pemprosesan data dengan 15% lebih baik berbanding model sebelumnya. Melaluinya juga, ia dapat mengurangkan kadar kehilangan isyarat sebanyak 20% sekaligus dapat memberikan bacaan kesihatan yang lebih tepat dan terperinci.
Selain itu, terdapat juga sokongan ECG dan Sleep Breathing Awareness yang menyokong Sleep Apnea Detection. Menyokong lebih dari 100 mod sukan dengan kemampuan untuk mengesan aktiviti secara automatik. Fungsi lain yang turut dibawakan adalah seperti menyokong sambungan untuk peranti Android dan iOS, panggilan telefon melalui Bluetooth, penarafan IP69K, GPS dan NFC.
Manakala untuk Watch GT 5 Pro, ia hadir dengan dua pilihan saiz skrin yang berbeza iaitu 42mm dan 46mm. Menggunakan kemasan dan rekaan lebih mewah dengan binaan dari Aloi titanium gred aeroangkasa yang dipadankan dengan sapphire glass pada skrin.
Turut menawarkan fungsi kesihatan dan kecergasan yang sama seperti Watch GT 5 namun dengan beberapa peningkatan seperti ECG dengan penggiraan masa lebih kurang 30 saat. Terdapat juga mod padang golf yang menganalisis susun atur pada dengan pemetaan 3D. Mod ini menyokong lebih dari 15,000 peta padang golf di seluruh dunia. Tidak ketinggalan, pengguna turut boleh memuat turun peta laluan.
Watch GT 5 Pro juga menyokong mod menyelam pada kedalaman sehingga 40 meter. Fungsi lain yang turut dibawakan adalah seperti menyokong sambungan untuk peranti Android dan iOS, panggilan telefon melalui Bluetooth, penarafan IP69K, GPS dan NFC. Dari ketahanan bateri, ia mampu bertahan 5 hingga 14 hari mengikut kepada penggunaan.
Di Malaysia, Watch GT 5 dijual pada harga RM1099 manakala Watch GT 5 Pro pula dijual pada harga RM1399 untuk 46mm dan RM1999 untuk 42mm. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dipra-tempah bermula hari ini hingga 4 Oktober 2024. Setiap pra-tempahan akan menerima hadiah percuma yang bernilai RM478 untuk Watch GT 5 dan RM528 untuk Watch GT 5 Pro.