Samsung secara rasmi memperkenalkan siri FE (Fan Edition) baru iaitu Galaxy S24 FE. Seperti model sebelumnya, Samsung masih mengekalkan idea yang sama iaitu rekaan dan fungsi setanding dengan model premium namun ditawarkan dengan harga lebih mampu milik.
Samsung Galaxy S24 FE hadir dengan skrin Dynamic AMOLED X2 bersaiz 6.7-inci dengan paparan 120Hz. Dijana dengan cip baru iaitu Exynos 2400e dipadankan dengan 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB.
Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 12MP Ultra Lebar + 8MP Telefoto. Manakala untuk swafoto, ia menggunakan sensor sebesar 10MP. Dimuatkan dengan bateri 4700mAh yang turut menyokong pengecasan pantas berwayar 25W dan tanpa wayar 15W.
Galaxy S24 FE turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi Galaxy AI yang sama ditawarkan pada Galaxy Z Fold 6 dan Z Flip. Antara fungsi Galaxy AI yang tersedia adalah seperti Sketch to image, Note assist, Live translate, Coomposer dan lain-lain.
Spesifikasi lain yang turut ditawarkan adalah seperti Bluetooh 5.3, WiFi 6E, penarafan IP68, pembesar suara jenis stereo, pengimbas cap jari di bawah skrin dan menjalankan sistem operasi One UI 6.1.1. Samsung turut menjanjikan kemas kini seperti model premium iaitu 7 tahun untuk Android dan 7 tahun untuk keselamatan.
Di Malaysia, Samsung Galaxy S24 FE dijual pada harga RM3299 untuk 8GB + 256GB dan RM3899 untuk 8GB + 512GB. Ditawarkan dalam 3 pilihan warna iaitu Blue, Graphite, Gray dan Mint.