Close

vivo X Fold5 kini rasmi di Malaysia dengan harga RM6999

vivo Malaysia secara rasmi memperkenalkan telefon lipat pertama mereka ke pasaran tempatan melalui model X Fold5. Tampil dengan pakej yang menarik merangkumi rekaan, spesifikasi dan ketahanan.

vivo X Fold5 menggunakan rekaan yang lebih ringan dan lebih tahan lasak. Peranti ini mempunyai ketebalan 9.2mm apabila dilipat, 4.3mm apabila dibuka dan hanya seberat 217 gram sahaja. Engsel direka semula menggunakan binaan gentian karbon dan keluli bertekanan tinggi untuk menjadikan ia lebih ringan.

Hadir dengan skrin luar bersaiz 6.53-inci AMOLED 120Hz dan skrin dalam bersaiz 8.03-inci LTPO AMOLED 120Hz. Skrin peranti ini menyokong kecerahan puncak 4500 nits dan dilindungi dengan Armor Glass generasi kedua. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.1.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP Sony IMX921 + 50MP Sony IMX882 + 50MP Ultra Lebar. Kemampuan kamera ini turut dibantu dengan kerjasama Zeiss. Untuk swafoto, ia menggunakan sensor 20MP yang dimuatkan pada skrin luar dan skrin dalam.

Dimuatkan dengan bateri 6000mAh Blue Volt yang menyokong pengecasan pantas 80W berwayar dan 40W tanpa wayar. X Fold5 turut menyokong penarafan yang baik dengan IP5X, IPX8 dan IPX9+ menjadikan peranti ini kalis terhadap air tekanan tinggi dan debu.

vivo X Fold5 turut hadir dengan pelbagai ciri yang dikuasakan oleh AI seperti AI smart call assist, AI Caption, snap text, vivo doc master dan lain-lain. Spesifikasi lain yang turut dimuatkan adalah seperti pengimbas cap jari bawah skrin, NFC dan juga shortcut button.

Di Malaysia, vivo X Fold5 pada harga RM6999 untuk 16GB + 512GB dan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Titanium Grey dan Feather White.

ARTIKEL BERKAITAN