Close

3 perkara menarik dan kurang menarik pada Samsung Galaxy Tab S11 Ultra

Samsung Galaxy Tab 11 Ultra telahpun ditawarkan secara rasmi ke pasaran tempatan. Merupakan tablet untuk kegunaan yang pelbagai.

Galaxy Tab S11 Ultra merupakan model paling premium dalam barisan siri Galaxy Tab S11. Ditawarkan dengan beberapa penambahbaikan dari segi rekaan, spesifikasi dan juga ciri menarik yang dikuasakan oleh Galaxy AI.

3 perkara menarik

Rekaan

Galaxy Tab S11 Ultra hadir dengan rekaan yang nipis dan ringan dengan ketebalan 5.1mm dan berat hanya 692 gram. Menurut Samsung, Galaxy Tab S11 Ultra merupakan tablet paling nipis dan ringan yang pernah dihasilkan setakat ini.

Rekaan yang nipis dan ringan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Bukan itu sahaja, tablet ini menggunakan bahan binaan Armor Aluminium dan menyokong penarafan IP68 untuk memberikan daya tahan yang lebih baik.

Berbeza dengan model biasa, Galaxy Tab S11 Ultra didatangkan dengan salutan anti-reflektif (anti-glare) terbina pada skrin, membolehkan kandungan yang dipaparkan kekal jelas walaupun di bawah cahaya matahari. Skrin peranti ini turut dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 5 yang menawarkan perlindungan yang lebih baik dan lebih tahan calar.

Prestasi

Galaxy Tab S11 Ultra dikuasakan dengan cip dari MediaTek iaitu Dimensity 9400+. Samsung menyatakan, cip ini mampu menawarkan peningkatan prestasi 24% pada CPU dan 27% pada GPU. Untuk konfigurasi memori, ia hadir dengan 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB.

Cip ini menggunakan teknologi binaan 3nm dengan konfigurasi CPU 8 teras dengan 1x Cortex-X925 berkelajuan 3.73GHz + 3x Cortex-X4 berkelajuan 3.3GHz + 4x teras Cortex-A720 berkelajuan 2.4GHz. Untuk GPU, cip ini hadir dengan GPU Immortalis-G925 MC12 yang menjanjikan prestasi grafik yang lebih baik dan jimat kuasa.

Prestasi yang ditawarkan pada tablet ini sememangnya mengujakan dan sangat memuaskan. Semua tugasan dan aplikasi dapan dijalankan dengan sangat lancar tanpa sebarang masalah. Permainan turut boleh dimainkan pada tetapan yang tinggi.

Perisian

Galaxy Tab S11 Ultra menjadi tablet terawal yang menjalankan sistem operasi terbaru dari Samsung iaitu One UI 8 yang berasaskan Android 16. Sistem operasi ini hadir dengan beberapa peningkatan dari segi antaramuka, fungsi dan kemampuan AI yang lebih baik.

Samsung turut membawakan ciri Extended Mode pada DeX, membolehkan tablet digunakan sebagai paparan kedua yang berasingan bukan ‘mirroring’. Untuk menjadikan penggunaan tablet ini lebih produktif, Samsung kini menyokong sehingga empat ruang kerja ‘workspace’ dengan setiap ruang kerja boleh diatur mengikut kegunaan.

Integrasi Galaxy AI pada tablet ini terasa lebih baik dan lebih semula berbanding sebelumnya. Antara ciri yang ditonjolkan pada tablet ini adalah seperti Gemini Live, Writing Assist, Drawing Assist dan banyak lagi. Secara keseluruhan, One UI 8 pada Galaxy Tab S11 Ultra bukan sekadar kemas kini, tetapi satu lonjakan dari segi fungsi kerja, pembelajaran dan kreativiti.

3 kurang menarik

Rekaan

Tidak dinafikan, Galaxy Tab S11 Ultra merupakan tablet yang paling nipis dan ringan yang pernah dihasilkan oleh Samsung untuk setakat ini. Namun begitu, dari segi rekaan tiada perubahan yang ketara dibawakan oleh Samsung pada tablet ini.

Masih lagi menggunakan rekaan sisi jenis rata, panel belakang jenis kesat dan susunan kamera yang sama. Dengan tiada perubahan rekaan yang ketara, kita mungkin boleh menjangkakan rekaan ini telah menjadi identiti untuk tablet dari Samsung.

Walau bagaimanapun, kami masih mengharapkan Samsung akan membawakan perubahan rekaan yang lebih menarik untuk generasi yang seterusnya.

Pengecasan

Seperti yang kita tahu, Galaxy Tab S11 Ultra dilengkapi dengan kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 11,800mAh. Walaupun terdapat peningkatan pada kapasiti bateri, namun tiada peningkatan pada teknologi pengecasan.

Samsung masih mengekalkan teknologi pengecasan yang sama seperti model sebelumnya iaitu 45W. Pada ketika ini, beberapa pengeluar telah menawarkan pengecasan yang lebih pantas untuk peranti mereka.

Kami merasakan, peningkatan teknologi pengecasan yang lebih pantas adalah satu keperluan memandangankan tablet ini dilengkapi dengan kapasiti bateri yang besar. Samsung mungkin mempunyai sebab tersendiri untuk mengekalkan pengecasan pantas yang sama. Kita hanya boleh mengharapkan pengecasan yang lebih pantas mungkin akan tiba pada model seterusnya.

Harga

Penawaran harga untuk Galaxy Tab S11 Ultra mungkin boleh dikatakan agak tinggi berbanding jenama lain. Jika dibandingkan dengan beberapa jenam lain dalam segmen yang sama, harga jualan yang ditawarkan ia sedikit lebih rendah dan lebih kompetitif.

Di Malaysia, harga jualan untuk Galaxy Tab S11 Ultra bermula dari RM5499 dan mencecah sehingga RM6499. Namun begitu, terdapat satu lagi pilihan iaitu Galaxy Tab S11 yang dijual lebih rendah dengan kemampuan yang hampir sama seperti model Ultra. Dijual pada harga bermula RM3899 dan mencecah sehingga RM4399.

ARTIKEL BERKAITAN