Redmi secara rasmi memperkenalkan model paling premium dalam siri Redmi K90 iaitu Redmi K90 Pro Max. Tampil dengan pakej premium merangkumi spesifikasi dan juga sistem audio yang lebih baik.

Redmi K90 Pro Max hadir dengan skrin OLED bersaiz 6.9-inci dengan resolusi 2608 × 1200. Turut menyokong paparan 120Hz, kecerahan puncak 3500 nits dan dilindungi dengan Xiaomi Dragon Crystal Glass. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang dipadankan dengan 16GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.1

Dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP Light Fusion 950 + 50MP Ultra Lebar + 50MP Telefoto dengan 5x zum optik dan swafoto 32MP. Dimuatkan dengan bateri 7560mAh yang menyokong pengecasan 100W berwayar, 50W tanpa wayar dan 22.5W tanpa wayar berbalik.

Perkara menarik mengenai peranti adalah ia hadir dengan sistem audio Bose yang diletakkan di bahagian modul kamera. Redmi K90 Pro Max menjadi fon pertama yang dilengkapi dengan sistem audio 2.1 channel dengan subwoofer Bose terbina.
Spesifikasi lain yang turut tersedia penarafan IP68, pengimbas cap jari ultrasonik 3D, tiga pembesar suara, NFC dan menjalankan HyperOS 3 berasaskan Android 16. Malangnya, buat masa ini peranti ini hanya ditawarkan untuk pasaran China sahaja.

Di China, Redmi K90 Pro Max dijual pada harga bermula sekitar CNY3999 (RM2370) dan mencecah sehingga CNY5299 (RM3141). Tidak dapat dipastikan adakah peranti ini akan ditawarkan ke pasaran luar China atau sebaliknya.