Seperti yang kita tahu, Samsung telahpun mengumumkan Galaxy S26 Ultra sebagai pengganti kepada model sedia ada iaitu Galaxy S25 Ultra. Jadi, ini dia perbezaan antara Galaxy S25 Ultra dan Galaxy S26 Ultra.

Spesifikasi asas Galaxy S26 Ultra :
- Skrin : 6.9-inci Dynamic AMOLED 2X QHD+
- Cip : Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
- RAM : 12GB / 16GB
- Storan : 512GB / 1TB
- Bateri : 5000mAh

Spesifikasi asas Galaxy S25 Ultra :
- Skrin : 6.9-inci Dynamic AMOLED 2X QHD+
- Cip : Snapdragon 8 Elite for Galaxy
- RAM : 12GB
- Storan : 26GB / 512GB / 1TB
- Bateri : 5000mAh
Secara asasnya, spesifikasi seperti bateri dan saiz skrin kekal sama. Namun, Galaxy S26 Ultra dijana dengan cip yang lebih berkuasa dan menyokong RAM yang lebih besar. Perubahan ini menawarkan peningkatan prestasi yang lebih baik.
Rekaan : Galaxy S26 Ultra dan Galaxy S25 Ultra

Galaxy S26 Ultra hadir dengan rekaan yang lebih nipis dan ringan berbanding Galaxy S25 Ultra. Samsung turut mendakwa, Galaxy S26 Ultra adalah model paling nipis dalam sejarah Galaxy Ultra. Galaxy S26 Ultra hanya setebal 7.9mm dan berat hanya 214 gram sahaja. Sebagai perbandingan, Galaxy S25 Ultra setebal 8.2mm dan berat 218 gram.
Selain itu, Galaxy S26 Ultra hadir dengan rekaan modul kamera yang berbeza dan rekaan keseluruhan kini kurang berkotak.
Skrin : Galaxy S26 Ultra dan Galaxy S25 Ultra

Perkara menarik mengenai skrin Galaxy S26 Ultra adalah ia menyokong teknologi Privacy Display. Merupakan peranti pertama di dunia yang menyokong teknologi atau ciri tersebut. Privacy Display merupakan sistem privasi skrin yang menghalang pengguna atau orang sekeliling dari melihat kandungan pada skrin.
Menurut Samsung, ciri ini direka untuk memberikan pengguna ruang peribadi walaupun berada di tempat awam. Pengguna boleh menetap ciri ini pada aplikasi tertentu dan boleh memilih jenis perlindungan seperti semasa menaip kata laluan atau apabila menerima notifikasi.
Kamera : Galaxy S26 Ultra dan Galaxy S25 Ultra

Kedua-dua model menggunakan tetapan kamera yang sama 200MP + 50MP Ultra Lebar + 50MP Telefoto +10MP Telefoto dan swafoto 12MP. Walau bagaimanapun, Galaxy S26 Ultra hadir dengan sokongan apertur yang lebih besar f/1.7 pada sensor 200MP dan f/3.4 pada sensor 50MP Telefoto.
Sokongan apertur lebih besar memberikan hasil imej yang lebih baik. Selain itu, Samsung turut membawakan ciri Super Steady untuk video serta peningkatan pada Nightography untuk hasil imej atau video yang lebih terang, tajam dan stabil.
Pengecasan : Galaxy S26 Ultra dan Galaxy S25 Ultra

Samsung kini menyokong pengecasan yang lebih pantas dengan 60W berwayar dan 25W tanpa wayar. Sebagai perbandingan, Galaxy S25 Ultra hanya menyokong 45W berwayar dan 15W tanpa wayar. Samsung mendakwa, pengecasan ini mampu mengecas dari 0% ke 75% hanya dalam masa 30 minit sahaja.
AI : Galaxy S26 Ultra dan Galaxy S25 Ultra

Seperti model sebelumnya, Samsung masih memfokuskan kepada AI tetapi dengan kemampuan yang lebih baik dan lebih bijak merentasi ekosistem Galaxy. Selain itu, terdapat beberapa penambahbaikan yang dibawa pada Galaxy S26 Ultra.
Antara penambahbaikan yang dibawakan seperti AI Call Screening yang mampu menjawab panggilan dan mengambil nota secara automatik, Creative Studio untuk suntingan imej dan video berasaskan AI, Editor AI pada aplikasi kamera dan pembantu maya yang lebih pintar Bixby, Google Gemini dan Perplexity AI.