Samsung Galaxy Tab S12 Ultra telahpun ditawarkan secara rasmi ke pasaran tempatan. Merupakan tablet premium dari Samsung yang memfokuskan untuk kegunaan yang pelbagai merangkumi kerja, belajar dan hiburan. Selain itu, tablet ini turut ditawarkan dengan pelbagi peningkatan yang menarik.
Rekaan dan skrin

Dari segi rekaan, Galaxy Tab S12 Ultra masih lagi mengekalkan rekaan yang sama seperti model sebelumnya. Masih lagi menggunakan rekaan yang nipis dan ringan dengan ketebalan 5.1mm dan berat hanya 692 gram. Boleh dikatakan antara tablet yang nipis dan ringan yang ada di pasaran ketika ini.

Dengan rekaan yang nipis dan ringan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Selain itu, tablet ini menggunakan bahan binaan Armor Aluminium dan menyokong penarafan IP68 untuk memberikan daya tahan yang lebih baik.

Galaxy Tab S12 Ultra dilengkapi dengan skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 14.6-inci dengan bezel nipis dan simetri. Perkara yang saya kurang suka mengenai skrin peranti ini adalah terdapat takuk kecil yang menempatkan kamera, menjadikan ia sedikit kurang kemas berbanding skrin tanpa takuk.
Skrin peranti ini menyokong paparan 120Hz dengan kecerahan puncak sehingga 1600 nits. Lebih menarik, Samsung kini membawakan teknologi Vision Booster pada Galaxy Tab S12 Ultra skrin tetap jelas, terang, dan mudah dibaca walaupun di bawah cahaya matahari yang terik.
Spesifikasi dan prestasi

Dari segi spesifikasi, Galaxy Tab S12 Ultra ini dikuasakan dengan cip Dimensity 9500 yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Cip ini menggunakan teknologi binaan 3nm dengan rekaan ‘All Big Core’, hadir dengan konfigurasi 8 teras.

Menurut Samsung, cip ini menawarkan peningkatan prestasi sehingga 19% pada CPU dan 17% pada GPU berbanding Galaxy Tab S11 Ultra. Dengan peningkatan ini ia menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik lebih-lebih untuk pengguna yang menggunakan peranti ini untuk tugasan profesional, termasuk menyunting gambar, menghasilkan kandungan kreatif dan mengendalikan projek video.
Hadir dengan dua pilihan storan iaitu 256GB dan 512GB yang dipadankan dengan 12GB RAM, pilihan ini memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk memilih konfigurasi mengikut keperluan dan bajet. Selain itu, ia turut menyokong slot kad microSD sehingga 2TB, ruang tambahan untuk menyimpan fail kerja, gambar, video dan koleksi media tanpa perlu berbelanja lebih.

Selain itu, tablet ini menyokong Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6.0, membolehkan ia memanfaatkan sambungan rangkaian yang lebih pantas dan cekap, manakala Bluetooth 6.0 pula melengkapkan pilihan sambungan untuk aksesori tanpa wayar yang lebih pantas. Secara keseluruhan, Samsung Galaxy Tab S12 Ultra membawa peningkatan prestasi yang sangat baik disamping pilihan RAM dan storan yang sesuai untuk pelbagai jenis pengguna.
Sistem operasi dan penggunaan

Galaxy Tab S12 Ultra menjalankan sistem operasi One UI 9 yang berasaskan kepada Android 17 dengan pelbagai ciri untuk meningkatkan produktiviti pengguna. Bukan itu sahaja, sistem operasi ini hadir dengan beberapa peningkatan seperti antaramuka yang lebih menarik dan kemampuan AI yang lebih baik.

Samsung membawakan ciri Extended Mode pada DeX, membolehkan tablet digunakan sebagai paparan kedua yang berasingan bukan ‘mirroring’. Untuk menjadikan penggunaan tablet ini lebih produktif, Samsung kini menyokong sehingga empat ruang kerja ‘workspace’ dengan setiap ruang kerja boleh diatur mengikut kegunaan.
Gabungan ciri ini menjadikan peranti ini sesuai untuk tugasan seperti penulisan, pengurusan kerja dan sebagainya. Dari segi kreativiti, Samsung hadir dengan sokongan Adobe Photoshop tambahan baru untuk siri Galaxy Tab S12. Aplikasi ini menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih untuk kerja ilustrasi dan penyuntingan kreatif menggunakan S Pen.

Gabungan skrin besar, sokongan S Pen dan aplikasi kreatif memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada pengguna yang mahu menghasilkan kandungan secara terus pada tablet. Samsung turut menjanjikan kemas kini sehingga tujuh untuk sistem operasi dan keselamatan. Sokongan kemas kini perisian yang panjang boleh dikatakan cukup penting bagi pengguna yang merancang untuk menggunakan dalam tempoh yang lama.
Bateri dan kamera

Galaxy Tab S12 Ultra hadir dengan kapasiti bateri dan teknologi pengecasan yang sama seperti model sebelumnya iaitu 11,600mAh dengan pengecasan pantas 45W. Menurut Samsung, Galaxy Tab S12 Ultra mampu menawarkan ketahanan bateri sehingga 23 jam dalam main balik video. Dari segi pengecasan, tablet ini mampu mengecas dari 0% hingga 100% dalam masa sekitar 95 minit.
Pada percubaan kami, untuk kegunaan biasa dan pelbagai ia mampu menawarkan screen on time (sot) sekitar 8 jam ke 9 jam. Manakala untuk penggunaan lebih lebih berat ia mampu mencapai sekitar 6 jam ke 7 jam. Walau bagaimanapun, ketahanan bateri mungkin berbeza mengikut penggunaan.

Beralih kepada kamera, Galaxy Tab S12 Ultra dilengkapi sensor utama 13MP dan 8MP Ultra Lebar di bahagian belakang. Pada bahagian hadapan, ia menggunakan sensor Ultra Lebar 12MP, sememangnya cukup baik untuk penggunaan harian, terutamanya ketika membuat panggilan video dan sebagainya.
Untuk kamera belakang, ia berjaya menjalankan tugas dengan baik dan lebih sesuai untuk mengambil gambar dokumen atau bahan rujukan untuk dimasukkan ke dalam nota. Saiz tablet yang besar menjadikannya kurang praktikal untuk digunakan sebagai peranti untuk mengambil gambar dalam kebanyakan situasi.
Secara keseluruhan, sistem kamera pada Galaxy Tab S12 Ultra boleh dikatakan cukup baik dan memenuhi keperluan sebuah tablet yang memfokuskan produktiviti.
Kesimpulan

Kesimpulannya, Galaxy Tab S12 Ultra sesuai untuk pengguna yang mahukan tablet dengan rekaan yang premium, sokongan perisian yang baik serta pelbagai ciri AI yang membantu untuk meningkatkan produktiviti. Selain itu, sokongan S Pen menjadikan tablet ini mempunyai kelebihan berbanding komputer riba konvensional. Untuk menjadikan ia lebih menarik, gabungan dengan Pro Keyboard membolehkan tablet ini digunakan untuk tugasan produktiviti atau kerja kreatif dengan lebih selesa.