Qualcomm mengumumkan cip baru mereka iaitu cip Snapdragon 8 Gen 5 yang diposisikan di bawah Snapdragon 8 Elite Gen 5. Cip ini dibina untuk memberikan prestasi setanding cip andalan dengan harga jualan yang lebih rendah.

Cip Snapdragon 8 Gen 5 dihasilkan dengan teknologi binaan 3nm yang sama seperti Snapdragon 8 Elite Gen 5. Menggunaka CPU Oryon dengan konfigurasi 8 teras iaitu 2x teras utama berkelajuan 3.8Ghz + 6x teras prestasi berkelajuan 3.32GHz. Untuk prestasi grafik ia menggunakan GPU Adreno 840 yang menawarkan peningkatan sehingga 11%.

Qualcomm menyatakan, cip ini mampu menawarkan penjimatan kuasa yang lebih baik iaitu sekitar 13% secara keseluruhan. Kemampuan AI turut ditambah baik melalui NPU Hexagon yang menawarkan peningkatan prestasi sehingga 46% dengan sokongan AI on-device dan juga multimodal.

Dari segi rangkaian, ia menggunakan modem Qualcomm X80 5G yang sama digunakan pada Snapdragon 8 Elite. Cip ini turut dilengkapi dengan Snapdragon Sound Technology Suite yang menyokong Qualcomm aptX Adaptive, aptX Lossless audio serta teknologi Qualcomm Expanded Personal Area Network. Turut tersedia ciri audio spatial dengan kemampuan head tracking.
Spesifikasi lain yang turut dibawakan seperti sokongan resolusi skrin sehingga QHD+ dengan paparan 240Hz, sokongan RAM LPDDR5X sehingga 24GB, rakaman video HDR melalui ISP Qualcomm Spectra dan sensor kamera sehingga 320MP dengan rakaman video sehingga 8K30FPS.