Close

Ulasan Samsung Galaxy S26 Ultra – Bukan revolusi, tapi ‘refinement’ yang menjadi

Galaxy S26 Ultra akhirnya tiba ke pasaran tempatan, walaupun tiba sedikit lewat berbanding model sebelumnya. Namun, Samsung masih membawakan pelbagai perkara yang menarik dan lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

Rekaan

Galaxy S26 Ultra merupakan model paling nipis yang pernah dihasilkan untuk siri Galaxy S. Peranti ini hanya setebal 7.9mm dengan berat sekitar 214 gram sahaja. Bila dipegang, peranti ini memang terasa lebih selesa jika dibandingkan dengan peranti dalam kelas yang sama. Namun begitu, peranti ini terasa agak licin bila digunakan tanpa kerangka pelindung.


Selepas dua generasi menggunakan binaan Titanium, Samsung kembali menggunakan bina armor aluminum frame pada Galaxy S26 Ultra. Perubahan ini boleh dikatakan agak besar, secara teknikal binaan aluminium menawarkan pelepasan haba yang lebih sekaligus menjadikan peranti kurang masalah kepanasan. Namun begitu, binaan Titanium memberikan rasa yang lebih mewah dan premium berbanding aluminium.

Satu lagi perubahan yang dilakukan oleh Samsung pada Galaxy S26 Ultra adalah pada rekaan modul kamera. Samsung menggunakan rekaan modul kamera baru yang berbentuk seperti pil. Perubahan ini menjadikan ia nampak lebih tersusun dan juga kemas.

Untuk pilihan warna, Galaxy S26 Ultra hadir dalam empat warna iaitu White, Black, Sky Blue dan Cobalt Violet. Dari semua pilihan warna yang ditawarkan, Cobalt Violet adalah warna paling menyerlah. Pilihan warna ini berjaya menonjolkan karakter sebuah ‘flagship’ dalam masa yang sama nampak lebih matang.

Skrin

Pada Galaxy S26 Ultra, Samsung membawakan teknologi skrin baru yang dipanggil sebagai Privacy Dislay. Teknologi ini membolehkan skrin fon hanya boleh dilihat dengan jelas oleh pemilik sahaja. Sekali gus, menghalang pengguna atau orang sekeliling dari melihat kandungan pada skrin.

Teknologi ni berbeza dengan pelindung skrin jenis matte yang sentiasa gelap sepanjang masa. Menurut Samsung, ciri ini direka untuk memberikan pengguna ruang peribadi walaupun berada di tempat awam. Pengguna boleh menetap ciri ini pada aplikasi tertentu dan boleh memilih jenis perlindungan seperti semasa menaip kata laluan atau apabila menerima notifikasi.

Spesifikasi lain, Galaxy S26 Ultra hadir dengan skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 6.9-inci dengan resolusi QHD+. Turut menyokong paparan 120Hz, ProScaller, kecerahan puncak 2600 nits dan dilindungi Gorilla Glass Armor 2. Secara keseluruhan, kemampuan skrin pada peranti ini sememangnya sangat baik sesuai dengan kelasnya.

Prestasi

Samsung kekal menggunakan cip dari Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy. Cip ini dihasilkan dengan sentuhan yang berbeza dan lebih berkuasa berbanding cip sama yang digunakan oleh pengeluar lain.

Samsung menyatakan, Galaxy S26 Ultra menjanjikan peningkatan prestasi CPU sehingga 19% dan peningkatan GPU sehingga 24% berbanding generasi sebelumnya. Di atas kertas dan secara realiti, prestasi peranti ini sememangnya sangat baik dengan pengalaman penggunaan yang lancar.

Peranti ini mampu mengendalikan tugas multitasking dengan cukup baik dan mampu menjalankan permainan berat dengan sangat lancar dan konsisten. Secara keseluruhan, peningkatan prestasi sememangnya ada pada peranti ini, tetapi ia lebih kepada refinement dengan kekuatan utama terletak pada kestabilan dan prestasi yang konsisten.

Bateri

Kapasiti bateri yang dimuatkan pada Galaxy S26 Ultra adalah 5000mAh iaitu kapassiti yang sama digunakan model Galaxy S21 Ultra iaitu peranti yang telah diperkenalkan pada 2021. Berbeza dengan kebanyakkan pengeluar lain yang menggunakan kapasiti bateri 6000mAh hingga 7000mAh pada peranti andalan mereka tetapi tidak untuk Samsung.

Secara keseluruhan, kemampuan bateri pada peranti ini boleh dikatakan cukup baik. Peranti ini mampu menawarkan penggunaan sepanjang hari bagi penggunaan biasa. Walaupun saiz bateri kekal sama, namun dari segi pengecasan terdapat peningkatan yang cukup menarik.

Galaxy S26 Ultra kini menyokong pengecasan pantas 60W berwayar dan 25W tanpa wayar. Sebagai perbandingan, model sebelumnya menyokong pengecasan 45W berwayar dan 25W tanpa wayar. Dengan pengecasan ini, Galaxy S26 Ultra mampu mengecas 75% hanya dalam masa 30 minit dan satu isian penuh hanya mengambil masa sekitar 52 minit.

Sistem operasi

Galaxy S26 Ultra menjalankan sistem operasi One UI 8.5 yang berasaskan kepada Android 16. Menggunakan antara muka yang lebih menarik dan memfokuskan kepada pengalaman AI yang lebih baik.

Pembantu maya Samsung iaitu Bixby kini lebih pintar dan lebih memahami setiap arahan yang diberikan. Lebih menarik, pengguna boleh menggunakan gaya bahasa harian untuk setiap arahan tidak lagi memerlukan arahan yang bersifat skema atau terlalu tepat. Bukan itu sahaja, Gemini juga kini lebih berguna dengan intergrasi aplikasi yang mendalam.

Now Nudge merupakan ciri baru yang diperkenalkan oleh Samsung. Ciri ini berbeza dengan AI sebelum ini yang perlu menunggu arahan dari pengguna sebelum melakukan sebarang tugas. Now Nudge bekerja secara automatik apabila mengesan arahan, memberikan cadangan secara automatik berdasarkan situasi semasa. Sebagai contoh, jika rakan meminta gambar dari percutian baru-baru ini, peranti akan mencadangkan gambar berkaitan dari galeri tanpa memerlukan anda mencarinya sendiri. Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengenal pasti mesej berkaitan mesyuarat dan menyemak jadual dalam kalendar.

Selain itu, ciri AI pada foto turut dipertingkat untuk menjadikan lebih baik dan lebih seronok untuk digunakan. Cirlce to Search turut dinaik taraf bagi membolehkan ia mengenal pasti pelbagai objek secara serentak dalam satu gambar. Akhir sekali, Samsung masih menawarkan kemas kini sehingga 7 tahun untuk Android dan juga keselamatan.

Kamera

Untuk fotografi, Samsung membawakan beberapa perubahan kecil untuk menjadikan kemampuan kamera menjadi lebih baik berbanding model sebelumnya. Secara asasnya, kekal dengan konfigurasi tri-kamera belakang dengan sensor 200MP f/1.4 + 50MP f/1.9 Ultra Lebar + 10MP Telefoto Periskop dan swafoto 12MP.

Walaupun tiada perubahan besar yang dilakukan, namun kemampuan sensor telefoto periskop dan ultra sudut lebar pada Galaxy S26 Ultra adalah lebih pantas dan lebih baik. Bagi keadaan cukup cahaya, hasil imej yang diberikan sememangnya cukup baik dengan warna yang dihasilkan konsisten, vibrant, terang dan terperinci.

Bagi keadaan kurang cahaya, hasil mej yang diberikan juga sangat baik dengan perincian dan juga warna dapat dikekalkan dengan konsisten. Perkara ini dibantu oleh ciri Nightography menambah perincian dalam masa yang sama membantu menjadikan imej lebih jelas dan terang. Selain itu, keupayaan kamera telefoto kini terasa lebih stabil dan mod potret lebih bijak untuk membezakan objek dan latar belakang.

Samsung turut membawakan ciri baru untuk videografi yang dipanggil sebagai horizontal lock. Ciri ini memastikan komposisi kekal stabil walaupun dipusingkan sehingga 360 darjah. Ciri ini sangat berguna untuk rakam aktiviti luar membolehkan komposisi video konsisten tanpa memerlukan gimbal atau peralatan tambahan.

Kesimpulan

Galaxy S26 Ultra datang dengan pelbagai perkara menarik sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini. Apa yang boleh dikatakan, perubahan yang dibawakan oleh Samsung pada Galaxy S26 Ultra berjaya memberikan pengalaman yang lebih baik dan berbeza. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa perkara yang boleh ditambah baik oleh Samsung untuk generasi yang akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN