Seperti yang kita tahu, Apple dijangka akan melancarkan siri iPhone terbaharu mereka iaitu siri iPhone 14. Pelbagai laporan mengenainya telah tertiris, terkini terdapat laporan mengatakan yang Apple mungkin akan menaikkan harga jualan bagi iPhone 14 versi Pro.
Menurut penganalisis Ming-Chi Kuo, Apple dikatakan merancang untuk menaikkan harga jualan bagi model iPhone 14 versi Pro berbanding iPhone 13 versi Pro.
Namun begitu, Kuo tidak mendedahkan harga jualan yang tepat untuk iPhone 14 versi Pro. Tetapi, melalui tweet yang dibuat, beliau menganggarkan peningkatan yang akan dibuat adalah sekitar 15% berbanding pada model sebelumnya.
Sebagai perbandingan, di Amerika Syarikat, iPhone 13 Pro dijual pada harga bermula $999 dan iPhone 13 Pro Max pula adalah $1,099. Jika Apple menaikkan harga jualan sebanyak 10% pada versi Pro, iPhone 14 Pro mungkin akan dijual pada $1,099 manakala iPhone 14 Pro Max adalah $1,199.
Apple dijangka akan membawakan perubahan ketara pada iPhone 14 versi Pro seperti menggantikan skrin jenis takuk kepada potongan berbentuk pil, cip A16 Bionic, kamera belakang 48 MP, paparan AOD dan juga reka bentuk yang baharu. Apple dijangka akan mengumumkan siri iPhone 14 pada bulan September.