Jika Apple mempunyai Apple Pay, Google turut mempunyai perkhidmatan pembayaran mobil iaitu Google Wallet. Yang mana, Google Wallet kini telahpun tersedia untuk pengguna di Malaysia.
Google Wallet bukan sahaja memudahkan pengguna untuk melakukan pembayaran secara nirtunai, tetapi ia juga boleh ditambah dalam beberapa pilihan seperti Transport Pass, Loyalty dan juga Gift Card. Penambahan itu memudahkan lagi pengguna untuk menguruskan perkara lain seperti pas digital dan kad digital.
Berikutan ketersediaan Google Wallet di Malaysia, beberapa bank telah mengeluarkan senarai kad yang menyokong fungsi Google Wallet antaranya adalah Public Bank (kad kredit Visa, kad debit Visa), Hong Leong Islamic (kad debit Mastercard), Hong Leong (kad kredit Visa, kad debit Mastercard) dan CIMB Bank (kad kredit Mastercard).
Bank lain seperti HSBC (kad kredit Visa dan Mastercard) dan HSBC Amanah (kad kredit Visa dan Mastercard ) antara bank yang akan menyokong Google Wallet tidak lama lagi. Tidak ketinggalan, Air Asia dan Malaysia Airlines juga antara yang akan menyokong Google Wallet untuk Transport Pass.
Untuk mula menggunakan Google Wallet, muat turun aplikasi di Play Store. Kemudian tekan Add to Wallet seterusnya masukkan maklumat kad dan tunggu sehingga proses selesai. Pastikan NFC dihidupkan sebelum anda melakukan sebarang pembayaran.