Razer Merchant Services hari ini mengumumkan yang mereka kini menyokong pembayaran melalui Apple Pay. Berikutan dari itu, semua pembayaran untuk pembelian dalam talian, dalam aplikasi dan juga kedai di seluruh Malaysia boleh dilakukan menggunakan Apple Pay.
Untuk melakukan pembayaran, pengguna hanya perlu meletakkan iPhone atau Apple Watch pada pembaca RMS dan tunggu sehingga proses selesai. Setiap pembelian melalui Apple Pay adalah selamat kerana ia perlu disahkan melalui Face ID, Touch ID atau kod laluan peranti.
Apple Pay telahpun tiba di Malaysia pada Ogos tahun lalu, membolehkan pengguna melakukan pembayaran menggunakan peranti Apple seperti iPhone, iPad, Mac ataupun Apple Watch. Antara bank yang menyokong pembayaran melalui Apple Pay adalah Maybank, Ambank, Standard Chartered dan juga HSBC.