Proton telah mengumumkan ketibaan SUV tiga baris tempat duduk baharu mereka iaitu Proton X90 2023. SUV baharu dari Proton ini tampil dengan pelbagai perkara menarik bersama dengan teknologi yang terkini. Berikutan dari itu, kami ingin berkongsi 4 perkara menarik mengenai Proton X90 2023.
1. SUV 6 atau 7 tempat duduk pertama dari Proton
Proton kini berada dalam era baharu apabila mengumumkan Proton X90 2023, sekaligus menjadikan ia sebagai SUV tiga baris tempat duduk pertama dari Proton sejak ia ditubuhkan pada 9 Julai 1985. Ia juga merupakan SUV ketiga selepas Proton X70 dan Proton X50. Ditawarkan dalam empat pilihan varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship.
Selain itu, Proton X90 2023 akan menjadi model terbaharu dalam pasaran tempatan yang akan bersaing dengan SUV tiga baris tempat duduk lain seperti Hyundai SantaFe, Kia Sorento, Mazda CX-8 dan Volkswagen Tiguan.
2. Hybrid pertama dari Proton
Selain menjadi SUV tiga baris tempat duduk pertama dari Proton. Proton X90 2023 juga merupakan kenderaan hybrid atau lebih tepat mild hybrid pertama dari Proton. Enjin Proton X90 2023 ini diletakkan dalam kategori mild hybrid kerana kuasa yang dihasilkan tidak sama seperti kenderaan hybrid sebenar iaitu 10kW dan tork sekitar 52Nm.
Dengan bantuan mild hybrid, enjin 1.5 TGDI ini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 130kW dengan tork 255Nm. Selain itu, sistem 48V mild hybrid ini turut memberikan kelebihan pecutan dari pegun sebanyak 10% dengan momentum sebanyak 15% serta mengurangkan pengeluaran CO2 sebanyak 13%.
Tranmisi yang digunakan pada enjin ini adalah DCT 7 kelajuan yang sama seperti pada Proton X70 dan X50. Penggunaan enjin mild hybrid ini adalah salah satu usaha Proton untuk memasuki kenderaan tenaga baharu (NEV).
3. Sistem keselamatan dan sistem bantuan pemandu
Tidak hanya tampil dengan enjin baharu, Proton X90 2023 ini turut dimuatkan dengan sistem keselamatan baharu termaju dalam keluarga Proton. Sistem keselamatan terbaharu tersebut adalah Rear Collision Warning (RCW), amaran lintasan belakang dan juga pengecaman papan tanda. Terdapat juga sistem keselamatan sedia ada seperti brek kecemasan autonomi, amaran hentaman hadapan dan 6 SRS Airbag.
Selain hadir dengan sistem keselamatan, Proton X90 ini turut dimuatkan dengan 10 sistem bantuan pemandu iaitu Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop dan Go, Intellignet Cruise Control (ICC), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Preventoin (LDP), Lane Centering Control (LCC), Emergency Lane Keep Assist (ELKA), Lane Change Assist (LCA), Auto Park Assist (APA), Kamera 360 darjah dan Tyre Pressure Monitoring System (TPMS).
4. Multi link suspension
Perkara menarik terakhir pada Proton X90 2023 adalah mengenai suspension multi link yang digunakan pada bahagian belakang. Yang mana, suspension ini membolehkan lebih banyak kawalan dilakukan pada bahagian suspension dan ia juga lebih fleksible.
Secara asasnya, suspension multi link ini direka untuk mengawal dive (menunduk) dan squat (mendongak) semasa membrek atau melakukan pecutan secara mendadak. Selain itu, sspension ini turut menawarkan pengedalian yang lebih baik dalam masa yang sama turut menawarkan keselesaan dalam pemanduan. Jadi tidak hairan, kebanyakkan kereta premium menggunakan suspension jenis ini.
Antara kereta premium yang menggunakan suspension ini adalah seperti Lexus, Audi, BMW dan Subaru. Tidak ketinggalan, kereta sport Porsche 911 adalah salah satu kereta yang turut menggunakan suspension mutli link pada bahagian belakang.