Nothing telahpun menjadualkan acara pelancaran Nothing Phone (2) di Malaysia pada 14 Julai ini. Melalui perkongsian terbaru, Nothing mendedahkan yang peranti tersebut boleh mula dibeli di Malaysia bermula 15 Julai ini.
Nothing Phone (2) akan tersedia di Crossover, MidValley Kuala Lumpur dan boleh dibeli bermula pada jam 11 pagi. Namun begitu, harga jualan dan varian yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia buat masa ini tidak didedahkan. Yang pasti, peranti ini akan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu putih dan kelabu.
Antara spesifikasi yang telah disahkan akan digunakan pada Nothing Phone (2) adalah akan dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, bateri 4700mAh, skrin OLED 6.7-inci, paparan 120Hz dan menjalankan sistem operasi Nothing OS 2.0. Rekaan lampu Glyph turut diberi nafas baharu dengan rekaan putus-putus yang boleh digunakan sebagai lampu notifikasi dan menyokong penyesuaian.
Persoalan mengenai harga jualan dan varian yang akan ditawarkan hanya akan terjawab sewaktu pelancarannya. Seperti biasa, sama-sama kita nanti.