Xiaomi Malaysia secara rasmi melancarkan tablet baharu untuk pasaran tempatan melalui model Xiaomi Pad 6. Melaluinya, ia hadir dengan sejumlah peningkatan spesifikasi dan lebih memfokuskan kepada produktiviti dalam masa yang sama turut menawarkan pengalaman hiburan yang lebih baik.
Xiaomi Pad 6 ini dilengkapi dengan skrin LCD WQHD+ yang bersaiz 11-inci yang turut menyokong paparan 144Hz, Dolby Vision, kecerahan puncak 550 nits dan dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 3. Dijana dengan cip Snapdragon 870 yang dipadankan dengan RAM sehingga 8GB LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 256GB UFS 3.1.
Untuk fotografi, ia hadir dengan kamera tunggal belakang dengan sensor 13MP yang menyokong rakaman sehingga 4K 30fps. Manakala untuk swafoto, ia menggunakan sensor sebesar 8MP. Bateri 8840mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas 33W.
Spesifikasi lain yang turut hadir pada Xiaomi Pad 6 adalah seperti WiFi 6, Bluetooth 5.2, 4 pembesar suara, 4 mikrofon dan menjalankan MIUI 14 yang berasaskan Android 13. Selain itu, tablet ini turut menyokong Xiaomi Smart Pen dan juga Xiaomi Keyboard yang memudahkan peranti ini digunakan untuk kegunaan produktiviti.
Di Malaysia, Xiaomi Pad 6 dijual pada harga RM1299 untuk 6GB + 128GB dan RM1499 untuk 8GB + 256GB. Bagi yang berminat, peranti ini boleh mula dibeli pada 20 Julai di semua kedai rasmi dan kedai atas talian Shopee dan Lazada Xiaomi Malaysia.
Xiaomi turut menawarkan konfigurasi 8GB + 128GB untuk Xiaomi Pad 6 pada harga RM1399. Tetapi, ia hanya ditawarkan secara eksklusif melalui kedai atas talian Shopee dan Lazada Xiaomi Malaysia.