Selepas mewajibkan semua peranti elektronik menggunakan sambungan jenis USB-C menjelang tahun 2024. Kesatuan Eropah mengumumkan satu lagi undang-undang baru yang mewajibkan semua bateri peranti elektronik boleh diganti atau ditanggal.
Kesatuan Eropah memberi tempoh sehingga 2027 untuk pengeluar mereka bentuk semula produk mereka mengikut standard yang ditetapkan. Selain itu, pengeluar sewajarnya membolehkan pengguna menggantikan bateri telefon tanpa memerlukan sebarang kepakaran mahupun alatan khas.
Perlaksanaan ini tidak terhad kepada peranti elektronik sahaja tetapi ia juga melibatkan skuter elektrik, kereta elektrik dan semua peranti elektronik yang menggunakan bateri yang boleh dicas semula.
Berikutan dari perlaksanaan ini, kita mungkin akan melihat perubahan yang ketara dari segi rekaan peranti elektronik yang memerlukan bahagian yang boleh dibuka untuk menggantikan bateri. Selain itu, penarafan IP mungkin sukar untuk diimplementasi pada peranti yang akan datang.