Selepas memilih tidak menawarkan siri HONOR 80 ke pasaran Malaysia, HONOR Malaysia kini sedia untuk menyambung legasi yang telah dimulakan dengan memperkenalkan HONOR 90 5G.
Peranti ini tampil dengan pelbagai peningkatan seperti dari segi prestasi, kemampuan kamera dan teknologi skrin yang digunakan.
Dari segi spesifikasi, HONOR 90 5G ini dijana dengan cip Snapdragon 7 Gen 1 Accelerated Edition yang dibina dengan teknologi binaan 4nm. Seperti namanya, cip ini mempunyai clock speed yang lebih tinggi iaitu 2.5Ghz berbanding versi standard dengan 2.4GHz.
Cip ini dipadankan dengan GPU Adreno 644 yang menjanjikan 20% peningkatan prestasi grafik berbanding model sebelumnya. Dari segi konfigurasi, ia hadir dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman sehingga 512GB. Menggunakan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas HONOR SuperCharge 66W, mampu mengecas dari 0% ke 100% hanya dalam 40 minit.
Sebagai peranti kelas pertengahan premium, spesifikasi yang dibawakan pada HONOR 90 5G sememangnya sepadan dengannya. Sepanjang penggunaan kami, tiada sebarang masalah prestasi yang dihadapi.
Semua aplikasi dan permainan boleh dijalankan dengan lancar serta boleh dimainkan pada tetapan grafik tinggi.
Premium, itu mungkin ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan rekaan HONOR 90 5G secara keseluruhan. HONOR 90 tampil dengan rekaan yang mewah, nipis dan simetri sekaligus menjadikan peranti ini setanding dengan rekaan peranti andalan yang berada di pasaran ketika ini.
HONOR 90 5G sememangnya peranti yang selesa bila dipegang kerana menggunakan rekaan sisi jenis melengkung. Pada panel belakang, ia tampil dengan rekaan Axisymemetric Dual Ring Camera yang memuatkan 3 kamera dan 1 LED flash.
Rekaan ini boleh dikatakan agak minimal tetapi mempunyai bonggol kamera yang agak tebal, tidak stabil apabila diletakkan di atas permukaan rata seperti meja.
Dari segi kemasan, peranti ini menggunakan kemasan jenis berkilat pada bahagian sisi, menjadikan ia terasa licin ketika di tangan. Selain itu, bahagian belakang peranti ini menggunakan kemasan dua tona, secara peribadi kemasan bahagian belakang agak sedikit pelik, berkilat pada bahagian atas dan rekaan seperti gelembung kecil pada bahagian bawah. Sekiranya HONOR tampil dengan kemasan satu tona ia mungkin mengubah pendapat kami.
Untuk skrin, HONOR 90 5G ini hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.7-inci dengan paparan 120Hz. Skrin ini turut menyokong 3840Hz PWM Dimming, kecerahan puncak 1600 nits dan HDR10+. Selain itu, ia juga menyokong HDR Certified untuk kandungan Netflix dan Amazon Prime Video.
Skrin ini menggunakan rekaan jenis Quad Curved, yang mana skrin ini menggunakan rekaan jenis melengkung pada semua sisi. Biarpun, rekaan ini nampak lebih premium dan lebih nipis. Namun, kadangkala ia menimbulkan rasa tidak selesa serta memberikan pengalaman penggunaan yang kurang baik.
Walaubagaimanapun, secara keseluruhan skrin yang dibawakan pada peranti ini sememangnya sangat baik. Warna yang dihasilkan baik dan terang serta mempunyai sudut pandang yang jelas. Teknologi skrin yang digunakan pada peranti ini juga setanding seperti peranti adalan lain.
HONOR 90 5G dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 200MP + 12MP ultra lebar + 2MP makro. Merupakan siri HONOR pertama yang hadir dengan kamera 200MP. Manakala, untuk swafoto ia menggunakan sensor 50MP.
HONOR menyatakan yang kemampuan kamera pada HONOR 90 5G adalah lebih baik dari model sebelumnya. Kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa sampel gambar menggunakan kamera HONOR 90 5G.