Berita gembira untuk pengguna WhatsApp di Malaysia, yang mana WhatsApp Channels kini telahpun tersedia untuk pengguna di Malaysia.
Buat yang tidak mengetahui, WhatsApp Channels membolehkan pengguna untuk mengikuti pelbagai saluran seperti media, syarikat, jenama dan topik yang diminati, perkongsian tersebut akan dihantar kepada penerima secara sehala dan tiada had pengikut.
Berikutan ketibaan fungsi baharu ini, terdapat perubahan antara muka pada bahagian Updates yang kini mempunyai dua bahagian iaitu Status dan Channels. Pengguna perlu menatal ke bawah untuk pergi ke bahagian Channels.
WhatsApp Channels boleh disertai melalui beberapa cara seperti menerusi pautan jemputan yang dikongsi dari perbualan, melalui e-mail dan juga melalui carian nama channels. Semua mesej yang dikongsi melalui Channels akan disimpan selama 30 hari sebelum dipadam.
Dari segi keselamatan dan privasi, maklumat pemilik WhatsApp Channels tidak akan didedahkan. Pengikut tidak akan dapat melihat maklumat peribadi pemilik Channel seperti nama, nombor telefon, foto profil dan lain-lain.
Untuk mula menggunakan fungsi ini, anda perlu mengemas kini aplikasi WhatsApp kepada yang terkini melalui App store, Play Store atau App Gallery.