Close

Ulasan Samsung Galaxy Z Fold5 – Sama tapi tak serupa

Samsung Galaxy Z Fold5 secara rasmi telahpun dilancarkan untuk pasaran tempatan. Tidak seperti model sebelumnya yang tampil dengan lebih banyak peningkatan. Pada Galaxy Z Fold5. Samsung dilihat lebih memfokuskan kepada beberapa peningkatan sahaja.

Walaubagaimanapun, Samsung Galaxy Z Fold5 masih lagi menawarkan sesuatu yang lebih baik secara keseluruhan berbanding dari model sebelumnya.

Rekaan

Dari segi rekaan, mungkin boleh dikatakan tiada perubahan drastik yang dilakukan pada Samsung Galaxy Z Fold5. Namun begitu, masih terdapat beberapa perubahan kecil tetapi memberikan perbezaan yang ketara dari model sebelumnya.

Perkara yang paling ketara pada Samsung Galaxy Z Fold5 adalah ia kini boleh dilipat dengan lebih rapat dan lebih kemas. Samsung menggunakan teknologi engsel baharu yang direka bentuk semula yang dikenali sebagai Flex Hinge, dikatakan lebih kukuh dan lebih baik.

Perkara menarik mengenai Flex Hinge baharu ini ia membolehkan lipatan dibuat dengan lebih senyap dan lebih kemas. Dalam masa yang sama, memberikan rasa yang premium dan lebih firm ketika peranti dilipat. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan yang setiap lipatan yang dibuat pada Samsung Galaxy Z Fold5 memberikan rasa yang sangat puas.

Ringan dan nipis, itulah yang boleh dikatakan apabila memegang peranti ini untuk pertama kali. Samsung Galaxy Z Fold5 kini 2.4 mm lebih nipis dan 10 gram lebih ringan daripada Samsung Galaxy Z Fold4. Sekaligus menjadikan peranti ini lebih selesa dan mudah untuk dikawal apabila digunakan. Ia juga kini lebih selesa apabila dimasukkan ke dalam poket.

Samsung Galaxy Z Fold5 masih lagi menggunakan binaan dari Armor Aluminium yang dipadankan dengan bingkai jenis rata. Binaan dan rekaan ini sememang gabungan yang baik, menjadikan peranti lebih kemas dan juga lebih menonjol. Samsung Galaxy Z Fold5 juga turut mempunyai piawaian kalis air IPX8.



Sekiranya anda menjangkakan perubahan rekaan yang drastik pada Samsung Galaxy Z Fold5, ia mungkin sedikit menghampakan. Namun, sekiranya anda mahukan peranti yang berkualiti tinggi dengan binaan luar biasa peranti ini adalah jawapannya.

Skrin

Samsung Galaxy Z Fold5 masih lagi mengekalkan saiz skrin yang sama seperti model sebelumnya, hadir dengan skrin utama 7.6-inci Infinity Flex Dynamic OLED 2X resolusi QXGA+ dengan paparan adaptif 1Hz-120Hz. Manakala, untuk skrin kedua ia tampil dengan saiz 6.2-inci Dynamic OLED 2X yang turut menyokong paparan adaptif 48Hz-120Hz.


Walaupun menggunakan saiz skrin yang sama, terdapat beberapa perubahan kecil yang dibawakan oleh Samsung. Antaranya, kecerahan puncak yang lebih tinggi iaitu pada 1750 nits berbanding model sebelumnya 1300 nits. Dengan kecerahan puncak yang lebih tinggi ia memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik di bawah cahaya matahari. Namun, untuk skrin kedua ia tidak menyokong tahap kecerahan yang sama.


Selain itu, Samsung Galaxy Z Fold5 kini menawarkan pengalaman skrin yang lebih baik dengan warna yang lebih vibrant dan lebih terang. Semua kandungan seperti Netflix, Disney Hotstar dan YouTube menyokong HDR10+, sekaligus memberikan pengalaman menonton yang sangat baik. Skrin Samsung Galaxy Z Fold5 ini dilindungi dengan Corning Gorill Glass Victus 2. Menawar ketahanan yang lebih baik pada permukaan yang lebih kasar seperti konkrit atau jalan raya.



Kesan lipatan pada skrin masih lagi dapat dilihat dan pada sesetengah keadaan ia nampak agak ketara. Cara terbaik untuk mengurangkannya adalah dengan menggunakan latar belakang yang lebih gelap. Secara keseluruhan, kemampuan skrin pada Samsung Galaxy Z Fold5 sememangnya berada dalam kelas yang tersendiri. Biarpun, Samsung hanya membawakan sedikit peningkatan.

Sistem operasi dan prestasi

Tidak dapat dinafikan Samsung mempunyai sistem operasi yang sangat baik pada peranti boleh-lipat. Itulah yang dikekalkan oleh Samsung pada Galaxy Z Fold5. Menjalankan sistem operasi yang terkini iaitu One UI 5.1.1 yang berasaskan Android 13. 


Secara asasnya One UI 5.1.1 tidak membawakan perubahan yang ketara dari segi antaramuka namun, ia membawakan beberapa penambahbaikan dan juga fungsi baharu yang dapat memanfaatkan keupayaan peranti boleh-lipat. Antaranya adalah keupayaan fungsi pelbagai tugas yang telah direka bentuk semula untuk menjadikan ia lebih mudah untuk diakses melalui Taskbar dan Recent Apps.

Jika sebelum ini kawalan media dan kamera pada Mod Flex agak terbatas, One UI 5.1.1 pada Samsug Galaxy Z Fold5 telah dipertingkat untuk menjadikan ia lebih baik dan lebih mudah untuk diakses. Terdapat juga pelbagai fungsi yang menarik seperti Multi Windows, Samsung Dex, Side Button dan banyak lagi.


Kami telahpun mencuba beberapa peranti boleh-lipat pada tahun ini namun, pada hemat kami sistem operasi One UI mempunyai resipi yang tersendiri menjadikan ia berbeza dari sistem operasi pada peranti boleh-lipat lain. Selain itu, Samsung turut menawarkan kemas kini yang lebih lama berbanding pengeluar lain dengan 4 tahun kemas kini Android dan 5 tahun kemas kini keselamatan.

Secara keseluruhan, kemampuan sistem operasi dan juga prestasi pada Samsung Galaxy Z Fold5 adalah sangat baik, dikuasakan dengan cip yang direka khas untuk Samsung iaitu Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy yang dipadankan dengan RAM 12GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Semua aplikasi, tugasan atau bermain permainan dapat dijalankan dengan cemerlang tanpa sebarang masalah. Masalah kepanasan yang melampau juga tidak ditemui sepanjang penggunaan kami.


Kamera

Selain menawarkan pengalaman yang menyeronokan sebagai sebuah peranti boleh-lipat, Samsung turut menawarkan keupayaan kamera yang setanding dengan peranti andalan semasa. Samsung Galaxy Z Fold5 hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan 50MP OIS lebar + 12MP ultralebar + 10MP telefoto OIS dengan 3x zum optik. Manakala, untuk swafoto ia tampil dengan 4MP di bawah skrin skrin utama dan 10MP untuk skrin kedua. 



Keupayaan kamera pada Samsung Galaxy Z Fold5 adalah amat baik dengan warna yang dihasilkan sama seperti apa yang dilihat dan cenderung menghasilkan tona warna yang vibrant. Keupayaan dan kawalan white balance juga sangat baik pada kebanyakan keadaan serta kurang hingar.


Selain itu, tahap perincian imej dan keseimbangan warna juga dilihat baik pada keadaan cukup cahaya. Pada keadaan kurang cahaya, Samsung Galaxy Z Fold5 dilihat cenderung untuk menghasilkan imej dengan dynamic range yang tinggi dan pada sesetengah keadaan ia akan menghasilkan imej yang terlebih exposure. Namun begitu, hasil imej yang diberikan masih lagi baik dan juga cerah.


Untuk swafoto, hasil imej yang diberikan agak baik dengan perincian dapat dikekalkan dan tona warna yang dihasilkan juga baik. Namun, untuk kamera swafoto bawah skrin (UDC) hasil imej yang diberikan adalah sedikit soft. Dari segi rakaman, ia menyokong rakaman sehingga 4K 60FPS.

Bateri


Seperti juga rekaan yang masih sama, Samsung juga mengekalkan kapasiti bateri yang sama seperti Samsung Galaxy Z Fold4, masih lagi dengan bateri 4400mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W, tanpa wayar 15W dan reverse wireless 4.5W. Samsung mendakwa, Galaxy Z Fold5 mampu mengecas 0% ke 50% hanya dalam 30 minit sahaja.


Pada pengalaman penggunaan kami, apa yang boleh dikatakan jangka hayat bateri pada Samsung Galaxy Z Fold5 ini adalah agak baik. Untuk kegunaan yang biasa screen on time (SOT) yang diperolehi adalah sekitar 7 Jam 5 minit dan menurun kepada 5 jam 15 minit untuk penggunaan yang lebih berat.
Sekiranya anda mahu ketahanan bateri yang lebih baik, boleh cuba untuk menggunakan paparan standard 60Hz atau lebih kerap menggunakan skrin luar, keputusannya ternyata berbeza. Namun begitu, harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai penggunaan yang berbeza dan itu akan memberikan hasil yang berbeza.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Z Fold5 boleh dianggap sebagai telefon boleh-lipat yang versatile dengan spesifikasi, keupayaan kamera dan perisian yang ditawarkan. Namun, dengan perubahan yang sedikit pada Samsung Galaxy Z Fold5 mungkin tidak mencapai tahap yang diharapkan oleh kebanyakan pengguna.

Dengan penawaran peranti boleh-lipat yang semakin banyak di pasaran ketika ini, Samsung patut perlu risau dengan kedudukannya. Tidak dinafikan yang Samsung Galaxy Z Fold5 mempunyai peminatnya yang tersendiri. Namun, Samsung masih perlu melakukan banyak kerja untuk kekal menjadi yang terunggul dalam segmen ini.

ARTIKEL BERKAITAN