Pada acara pelancaran MIX Fold 3, Xiaomi turut melancarkan anjing siber baharu mereka iaitu Xiaomi CyberDog 2. Hadir dengan sejumlah peningkatan teknologi yang lebih baik dan juga rekaan yang lebih kecil dan lebih ringan berbanding model sebelumnya.
Tidak seperti model sebelumnya yang tampil dengan rekaan mirip seperti robot, CyberDog 2 kini tampil dengan rekaan mirip seperti seekor anjing sebenar dan lebih unik. Ia juga kini lebih kecil dengan 36.7 cm dan lebih ringan dengan 8.9 kg.
Keupayaan CyberDog 2 juga ditambah baik dengan menggunakan mikro CyberGear menjadikan ia lebih tangkas dan mampu melakukan arahan yang lebih rumit seperti melakukan backflips secara berterusan. Selain itu, ia kini lebih bijak dan mampu berinteraksi dengan manusia dengan lebih baik.
Dikuasakan dengan cip pemproses NX yang mampu mencapai sehingga 21 TOPS. Terdapat 19 penderia yang digunakan untuk penglihatan, pendengaran dan juga sentuhan. Penderia tersebut merangkumi kamera 2D, kamera 3D, kamera RGB, LiDAR, ToF, Ultrasonik, UWB dan sebagainya. Terdapat juga 4 mikrofon terbina yang tersuai dengan algoritma suara Xiaomi AI.
Di China, Xiaomi CyberDog 2 dijual pada harga sekitar RMB12,999 (RM8276) dan ditawarkan dalam 3 pilihan warna iaitu kuning, hitam dan biru. Dijual secara terhad dan khusus untuk peminat teknologi atau pembangun robotik.