Maxis akhirnya menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G untuk pengguna mereka. Berikutan dari itu, Maxis kini menawarkan beberapa pelan baharu untuk rangkaian 5G bersempena dengan pengenalannya.
Antara pelan baharu yang diumumkan adalah Pascabayar Maxis 5G, Pascabayar & Prabayar Hotlink 5G dan juga Home WiFi Maxis 5G.
Pascabayar Maxis 5G
Terdapat 5 pilihan pelan yang ditawarkan dengan harga bermula dari RM79 hingga RM199, kesemua pelan ini ditawarkan dengan rangkaian 4G/5G. Pelan ini turut hadir dengan data bonus 5G sehingga 100GB serta SMS dan panggilan tanpa had.
Untuk pengguna sedia ada, terdapat dua pilihan yang ditawarkan oleh Maxis iaitu tukar kepada pelan baharu 5G dengan penambahan RM11 atau kekal dengan pelan sedia ada dan tambah RM10 sekiranya mahu mendapatkan akses rangkaian 5G. Dalam pada itu, Maxis turut menawarkan pas 5G secara percuma untuk 30 hari pertama.
Pascabayar & Prabayar Hotlink 5G
Maxis turut memperkenalkan pelan baharu untuk pascabayar dan prabayar untuk Hotlink 5G. Untuk pelan pascabayar ia hadir dengan pelan baharu berharga RM70 untuk data 70GB untuk 4G/5G serta data bonus 5G 35GB. Pelan ini didatangkan dengan SMS dan panggilan tanpa had.
Manakala untuk prabayar Hotlink 5G pula, ia hadir dengan pelan Hotlink Pantas pada harga RM60 sebulan untuk 70GB data 4G/5G dan data bonus 5G 30GB dan pelan RM45 sebulan untuk 50GB data 4G/5G dan data bonus 5G 25GB. Pelan ini turut ditawarkan dengan harga lebih rendah melalui pelan mingguan pada harga RM15 untuk 15 GB data 4G/5G dan data bonus 5G.
Pelan ini turut menawarkan pulangan tunai sebanyak 20% untuk pelan bulanan bagi belia dibawah umur 24 tahun. Maxis turut menawarkan pas 5G secara percuma sehingga 15 September ini yang ditebus melalui aplikasi Hotlink Red.
Home WiFi Maxis 5G
Tidak ketinggalan, Maxis turut menawarkan kemas kini untuk pelan Home WiFi Maxis 5G untuk pelan bulanan RM158. Melalui pelan ini, pelanggan bukan sahaja dapat menikmati data 4G/5G tanpa had tetapi, ia turut ditawarkan dengan router 5G.
Namun begitu, pelan ini hanya boleh dinaik taraf melalui aplikasi Maxis/Hotlink, untuk maklumat lanjut layari laman web rasmi Maxis.