Xiaomi secara rasmi melancarkan peranti boleh-lipat baharu mereka iaitu Xiaomi MIX Fold 3. Tampil dengan sejumlah spesifikasi yang dipertingkat, rekaan yang lebih baik dan dilengkapi dengan tetapan kuad-kamera belakang.
Dari segi rekaan, Xiaomi MIX Fold 3 tampil dengan rekaan yang lebih nipis iaitu 10.96 mm ketika ditutup dan 5.26 mm ketika dibuka. Menggunakan teknologi engsel baharu yang mampu bertahan sehingga 500,000 lipatan, turut melepasi ujian TUV Rheinland. Ia juga boleh dibuka pada kedudukan sudut antara 45 hingga ke 135 darjah.
Xiaomi MIX Fold 3 hadir dengan skrin luar E6 OLED bersaiz 6.56-inci LTPO yang menyokong paparan 120Hz. Untuk skrin dalaman ia hadir dengan E6 OLED bersaiz 8.03-inci LTPO turut menyokong paparan 120Hz. Menggunakan panel kaca UTC yang hanya setebal 0.33 mm sekaligus menjadikan kesan lipatan menjadi lebih minimal.
Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 Leading Edition yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB. Dimuatkan dengan bateri 4800mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W dan tanpa wayar 50W.
Untuk fotografi, ia dilengkapi dengan tetapan kuad-kamera dengan sensor utama 50MP lebar + 12MP ultralebar + 10MP telefoto + 10MP periskop. Manakala swafoto ia dilengkapi dengan sensor 20MP yang diletakkan pada bahagian luar dan dalam skrin. Tetapan kamera menggunakan penjenamaan Leica dengan Lensa Summicron.
Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti pembesar suara jenis stereo Dolby Atmos, Bluetooh 5.3, WiFi 7, pengimbas cap jari pada butang kuasa dan menjalankan sistem operasi khas untuk telefon lipat iaitu MIUI Fold 14 berasaskan Android 13.
Di China, Xiaomi MIX Fold 3 dijual pada harga bermula RMB8999 (RM5738) untuk model asas 12GB + 256GB. Buat masa ini, tiada sebarang maklumat mengenai penawaran peranti ini untuk pasaran global.