Close

Ulasan Samsung Galaxy Tab S9 Ultra – Mewah, berkuasa dan berkebolehan

Samsung Galaxy Tab S9 Ultra bukanlah tablet pertama yang kami cuba untuk tahun ini. Berbeza dengan penawaran dengan jenama lain, Galaxy Tab S9 Ultra boleh dikatakan sebagai tablet paling  menarik untuk tahun ini.

Spesifikasi, fungsi dan juga kebolehan yang ditawarkan pada Galaxy Tab S9 Ultra menjadikan tablet ini dilihat pilihan terbaik serta lengkap untuk pelbagai kegunaan.

Rekaan

Untuk rekaan, mungkin boleh dikatakan tiada perubahan ketara yang dilakukan pada Galaxy Tab S9 Ultra berbanding model sebelumnya. Namun begitu, terdapat beberapa perubahan kecil yang dibawakan bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.


Tablet ini menggunakan rekaan yang nipis dengan sisi jenis rata yang digabungkan dengan bahan binaan dari armor aluminium yang lasak dan tahan hentakan. Dari segi kemasan,Galaxy Tab S9 Ultra menggunakan kemasan jenis kesat pada bahagian sisi dan panel belakang. Secara peribadi, kami sememangnya menyukai kemasan jenis rata kerana ia lebih selesa dan lebih cengkam bila dipegang.


Peningkatan paling ketara pada Galaxy Tab S9 Ultra adalah ia kini ini menyokong penarafan IP68 yang mampu bertahan selama 30 minit pada kedalaman 1.5 meter. Lebih menarik, S-Pen juga turut mempunyai kemampuan yang sama dan boleh menulis ketika berada di dalam air. Selain itu, terdapat juga 4 pembesar suara dari AKG yang disusun secara simetri pada bahagian atas dan bawah.

Secara keseluruhan, rekaan yang dibawakan pada Galaxy Tab S9 Ultra boleh dikatakan agak baik. Namun, secara peribadi kami mengharapkan sesuatu yang lebih baik dari Samsung.

Skrin

Samsung sememangnya sering menawarkan kualiti skrin pada tahap tertinggi. Untuk Galaxy Tab S9 Ultra ia hadir dengan skrin Dynamic AMOLED 2x bersaiz 14.6-inci dengan resolusi 1848 x 2960 yang turut menyokong paparan 120Hz. Untuk perlindungan, ia menggunakan Corning Gorilla Glass 5 yang menjanjikan ketahanan skrin yang lebih baik.


Tablet ini turut menyokong kandungan HDR10+ dan Dolby Vision, sekaligus menjanjikan pengalaman menonton yang sangat baik untuk kandungan seperti Netflix, Disney Hotstar dan YouTubeSelain itu, warna yang dihasilkan juga terang dan vibrant setanding dengan tablet andalan yang lain.


Rekaan bingkai skrin yang digunakan pada tablet ini boleh dikatakan agak nipis sekaligus dapat memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Namun, ia menjadikan tablet ini sedikit sukar untuk dipegang ketika digunakan. 



Keupaayan skrin pada Galaxy Tab S9 Ultra sememangnya cemerlang dengan warna yang dihasilkan sangat baik, sudut pandangan yang jelas dan sentuhan yang responsif. Mungkin tidak keterlaluan untuk menyatakan skrin Galaxy Tab S9 Ultra berada di tahap yang berbeza dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.


Prestasi

Galaxy Tab S9 Ultra dikuasakan dengan cip khas iaitu cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy.  Cip khas ini menggunakan teras utama yang lebih pantas iaitu 3.36GHz berbanding 3.2GHz pada versi biasa. Selain itu, terdapat juga peningkatan pada kelajuan GPU iaitu 719MHz berbanding 680MHz pada versi biasa.

Dari pengalaman penggunaan kami, tiada sebarang masalah berkenaan prestasi yang dihadapi sepanjang penggunaan. Apa yang boleh dikatakan peranti ini berjaya menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Kebanyakkan permainan boleh dimainkan dengan tetapan grafik dan juga resolusi tertinggi tanpa sebarang masalah.


Selain cip yang berkuasa, tablet ini turut menggunakan teknologi RAM LPDDR5X dan juga teknologi storan yang lebih pantas dengan UFS 4.0. Kedua-dua teknologi ini memberikan pengalaman penggunaan yang lebih pantas sewaktu menukar aplikasi, pasang aplikasi, membuka aplikasi dan lain-lain. Apa yang boleh dirumuskan, prestasi pada Galaxy Tab S9 Ultra adalah sangat mengujakan.



Sistem operasi


Galaxy Tab S9 Ultra menjalankan sistem operasi One UI 5.1.1 yang berasaskan Android 13. Tiada perubahan ketara yang dibawakan pada One UI 5.1.1 berbandingan One UI 5.1. Lebih memfokuskan kepada penambahan fungsi baharu dan juga kemampuan yang lebih baik untuk produktivi.

One UI 5.1.1 masih lagi mengekalkan antaramuka yang minimalis dan juga mudah untuk difahami. Fungsi bar tugas kini turut dipertingkat yang mana, ia kini memaparkan sehingga 4 aplikasi baharu. Ia mungkin perubahan yang kecil namun sangat bermakna membolehkan pengguna beralih ke aplikasi lain dengan lebih cepat dan pantas. 

Tidak ketinggalan, ia turut hadir dengan keupayaan produktiviti yang lebih baik seperti Multi-Active Window dan DeX Platform yang membolehkan pengguna menukar antara muka seperti PC yang dapat meningkatkan lagi produktiviti.

Selain itu, Samsung turut membawakan pelbagai aplikasi kreatif dan produktif dari pihak ketiga pada Galaxy Tab S9 Ultra yang membolehkan lebih banyak kerja boleh dilakukan secara On-The-Go.

Selain menawarkan pengalaman sistem operasi yang lancar dan pantas, Samsung turut menawarkan kemas kini yang lebih panjang berbanding pengeluar dengan 4 tahun kemas kini Android dan 5 tahun kemas kini keselamatan.

Kamera


Galaxy Tab S9 Ultra ini dilengkapi dengan tetapan dwi-kamera belakanng dengan sensor utama 13MP f/2.0 lebar + 8MP f/2.2 ultra lebar. Manakala, swafoto hadir dengan rekaan jensi takuk dengan tetapan dwi-kamera dengan sensor 12MP f/2.2 lebar + 12MP f/2.4 ultra lebar. 



Keupayaan kamera pada Galaxy Tab S9 Ultra boleh dikatakan agak baik untuk sebuah tablet. Terdapat beberapa peningkatan dari segi kemampuan sensor yang menjanjikan kualiti gambar dan video lebih baik. Sepanjang percubaan kami, hasil imej yang diberikan agak baik dengan perincian dapat dikekalkan pada kebanyakan keadaan. 


Samsung turut membawakan teknologi auto framing yang akan memastikan pengguna sentiasa berada dalam bingkai ketika membuat panggilan video. Untuk rakaman, tablet ini menyokong rakaman sehingga 4K 30fps.

Bateri 


Ketahanan bateri pada Galaxy Tab S9 Ultra mungkin perkara yang tidak perlu dirisaukan. Tablet ini dimuatkan dengan bateri sebesar 11,200mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 45W.


Pengalaman penggunaan kami, apa yang boleh dikatakan jangka hayat bateri pada Galaxy Tab S9 Ultra sememangnya amat baik. Untuk kegunaan yang biasa dan pelbagai screen on time (SOT) yang diperolehi adalah sekitar 12 Jam 15 minit dan menurun kepada 10 jam 10 minit untuk penggunaan yang lebih berat.
Sekiranya anda mahu ketahanan bateri yang lebih baik, boleh cuba untuk menggunakan paparan standard 60Hz atau menyahaktif beberapa tetapan. Namun begitu, harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai penggunaan yang berbeza dan itu akan memberikan hasil yang berbeza.

Kesimpulan



Mungkin terlalu awal untuk menyatakan yang  Galaxy Tab S9 Ultra akan menjadi tablet terbaik untuk tahun ini. Namun, dari apa yang dibawakan oleh Samsung pada Galaxy Tab S9 Ultra sememangnya menggambarkan perkara tersebut.

Samsung Galaxy Tab S9 Ultra boleh dianggap sebagai tablet versatile yang menggabungkan  keupayaan dan kemampuan yang luar biasa pada sebuah tablet. Dengan tanda harga mencecah RM6499, ia dilihat setanding dengan apa yang ditawarkan oleh Samsung.

ARTIKEL BERKAITAN