Apple turut melancarkan jam tangan pintar baharu mereka iaitu Apple Watch Series 9 pada acara Wonderlust yang berlangsung sebentar tadi. Apple Watch Series 9 tampil dengan sejumlah peningkatan spesifikasi dan juga fungsi yang lebih baik.
Dari segi rekaan, Apple Watch Series 9 masih lagi menggunakan rekaan yang sama seperti model sebelumnya. Namun, ia kini dijana dengan cip Apple S9 SiP baharu (System in Package) yang menawarkan peningkatan sebanyak 60 % pada CPU dan 30% pada GPU.
Apple Watch Series 9 kini menyokong kecerahan puncak yang lebih tinggi iaitu pada 2000 nits dan menjalankan sistem operasi WatchOS 10.
Apple Watch Series 9 ini turut hadir dengan fungsi baharu iaitu gesture double tap yang boleh digunakan untuk menjawab panggilan, alarm dan kawalan kamera. Selain itu, ia kini menyokong keupayaan Siri secara terus tanpa memerlukan sambungan kepada iPhone dan Ultra Wide Band (UWB) generasi kedua.
Untuk jangka hayat bateri, Apple Watch Series 9 mampu bertahan sehingga 18 jam untuk pengguna biasa dan mampu bertahan sehingga 36 jam apabila Ultra Low Power Mode diaktifkan.
Untuk pasaran Malaysia, Apple Watch Series 9 varian Aluminium dengan selular ditawarkan dengan harga bermula RM1899 untuk 41mm dan RM2049 untuk 45mm. Manakala, untuk varian Stainless Steel, ia dijual pada harga bermula RM3299 untuk 41mm dan RM3549 untuk 45mm.