Seperti yang kita tahu, siri iPhone 15 merupakan iPhone pertama yang menggunakan pengecasan USB-C yang menyokong penghantaran data yang lebih pantas. Namun, teknologi ini terhad kepada iPhone 15 Pro dan 15 Pro Max dengan penghantaran data mencecah sehingga 10Gbps.
Berikutan dari itu, Apple telah mengemas kini penawaran aksesori mereka dengan memperkenalkan kabel USB-C baharu untuk siri iPhone 15. Kabel USB-C ini dikenali sebagai Thunderbolt 4 (USB-C) Pro Cable dan dijual pada harga RM399.
Menurut Apple, kabel ini menyokong penghantaran data sehingga 40Gbps dan pengecasan sehingga 100W. Selain menyokong siri iPhone 15, kabel ini turut boleh digunakan pada produk Apple lain seperti Mac, Pro Display XDR, Studio Display dan lain-lain. Dari segi kemasan, kabel ini hadir dengan kemasan jenis braided yang lebih tahan lasak.
Bagi yang berminat, kabel Thunderbolt 4 (USB-C) Pro Cable ini boleh mula dibeli hari ini melalui laman web rasmi Apple Malaysia.