Samsung buat masa ini, belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai Galaxy S23 FE. Namun begitu, terdapat beberapa laporan telah mendedahkan maklumat mengenai peranti tersebut.
Terbaru, Samsung Galaxy S23 FE telah dikesan dalam pangkalan data untuk konsol Google Play, sekaligus mendedahkan beberapa maklumat baharu mengenai peranti tersebut.
Melalui maklumat tersebut, memperlihatkan yang Samsung Galaxy S23 FE akan hadir dalam dua pilihan cip iaitu Exynos dan Snapdragon. Selain itu, ia turut menggunakan kod nama yang berbeza iaitu Samsung r11s untuk Exynos 2200 dan Samsung r11q untuk Snapdragon 8 Gen 1.
Penyenaraian tersebut turut mendedahkan beberapa maklumat seperti akan dilengkapi dengan 8GB RAM, skrin FHD+ dan menjalankan Android 13. Walaubagaimanapun, tidak dapat dipastikan mengenai penawaran dan pasaran bagi kedua-dua cip.
Samsung Galaxy S23 FE dijangka akan dilancarkan secara global pada penghujung tahun 2023 atau awal tahun 2024.