Xiaomi kini dalam persediaan untuk melancarkan barisan baharu peranti andalan mereka iaitu siri Xiaomi 14 yang dijangka dilancarkan pada penghujung tahun ini. Berikutan dari itu, telah ada laporan yang mendedahkan maklumat mengenai peranti tersebut.
Terkini, peranti yang didakwa sebagai Xiaomi 14 telah dikesan di Pensijilan Wajib Cina (CCC) dengan nombor model 23127PN0CC. Pensijilan tersebut turut mendedahkan yang peranti ini akan menyokong pengecasan maksimum pada 90W.
Untuk mendapat pengecasan maksimum pada 90W, peranti ini memerlukan pengecasan USB-C baharu iaitu Xiaomi MDY-14-EC. Namun, tidak dapat dipastikan, adakah Xiaomi masih menyertakan pengecasan untuk siri Xiaomi 14 atau sebaliknya.
Sebelum ini, Xiaomi masih lagi menyertakan pengecasan di dalam kotak untuk siri Xiaomi 13 bagi pasaran global. Walaubagaimanapun, berbeza untuk pasaran China, pengguna perlu membeli secara berasingan kerana pengecasan tidak disertakan di dalam kotak.
Namun begitu, tiada sebarang maklumat yang didedahkan mengenai pengecasan yang akan digunakan pada Xiaomi 14 Pro. Kami menjangkakan ia mungkin hadir dengan pengecasan yang lebih pantas berbanding model biasa.
Lebih banyak maklumat mengenai siri Xiaomi 14 akan didedahkan dari masa ke semasa. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.