Close

Ulasan Samsung Galaxy S23 FE – Kemunculan semula yang berjaya

Selepas tidak dilancarkan pada tahun lalu, Samsung membawakan kembali siri Fan Edition (FE) melalui model Galaxy S23 FE. Masih membawakan idea yang sama iaitu rekaan dan fungsi setanding dengan model premium tapi ditawarkan dengan harga lebih mampu milik.


Tidak seperti model sebelumnya, Galaxy S23 FE kini ditawarkan dalam dua pilihan cip iaitu Exynos 2200 dan Snapdragon 8 Gen 1. Untuk pasaran Malaysia, ia hadir dengan pilihan cip Exynos 2200. Menjadi persoalan, adakah Galaxy S23 FE berjaya untuk membawakan kembali kegemilangan yang ditinggalkan oleh Galaxy S21 FE.


Rekaan



Secara asasnya, rekaan Galaxy S23 FE terlihat sama seperti Galaxy S23+. Perkara tersebut mungkin tidak dapat dinafikan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekiranya Galaxy S23 FE mempunyai sentuhan premium dan mewah seperti model utama.



Namun, apa yang kami perasan adalah Galaxy S23 FE adalah sedikit lebih berat berbanding Galaxy S23+. Untuk permulaan, ia menimbulkan rasa tidak selesa namun selepas beberapa ketika ia terasa lebih baik dan lebih cengkaman ketika di tangan.



Terdapat tiga perkara yang kami suka mengenai rekaan Galaxy S23 FE. Pertama, rekaan sisi yang sedikit bulat dengan kemasan jenis kesat menjadikan peranti ini sangat selesa apabila digunakan. Kedua, rekaan kamera belakang yang seolah-oleh terapung menjadikan menarik dan berbeza. Ketiga, rekaan skrin jenis rata yang memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.


Skrin



Seperti yang kita tahu Samsung sentiasa hadir dengan keupayaan skrin yang sangat baik untuk peranti mereka. Jadi, tidak hairanlah sekiranya Galaxy S23 FE turut menawarkan keupayaan skrin yang baik dari pelbagai sudut seperti warna, perincian, sudut pandang yang baik dan sentuhan yang responsif.


Galaxy S23 FE hadir dengan menggunakan skrin Dynamic AMOLED X2 jenis rata bersaiz 6.4-inci FHD+. Turut menyokong paparan adaptif 120Hz, kecerahan puncak 1450 nits dan dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 5. 


Namun begitu, terdapat perkara kurang menarik mengenai skrin Galaxy S23 FE. Perkara tersebut adalah ia menggunakan bingkai yang agak tebal berbanding peranti dalam kelas yang sama. Namun begitu, ia masih lagi menawarkan pengalaman penggunaan yang baik secara keseluruhan.


Prestasi


Galaxy S23 FE dijana dengan cip Exynos 2200 yang dibina menggunakan teknologi binaan 4nm dan menggunakan konfigurasi 1+3+4 iaitu 1x Cortex-X2, 3x Cortex-A170 dan 4x Cortex-A510. Dipadankan dengan GPU Xclipse yang berasaskan teknologi RDNA 2 yang dibina dengan kerjasama AMD.


Sepanjang penggunaan kami, tiada sebarang masalah berkenaan dengan prestasi yang kami hadapi. Apa yang boleh dikatakan peranti ini berjaya menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Kebanyakkan game boleh dimainkan dengan tetapan grafik dan juga resolusi tertinggi tanpa sebarang masalah.



Percubaan kami bermain beberapa games, kami mendapati yang Samsung Galaxy S23 FE tidak terasa terlalu panas sebaliknya hanya terasa suam. Apa yang boleh dirumuskan, kemampuan prestasi pada Galaxy S23 FE sememangnya menggujakan tidak kira untuk pengunaan biasa atau pengggunaan yang lebih berat.


Bateri



Galaxy S23 FE masih lagi menawarkan kapasiti bateri dan juga teknologi pengecasan yang sama seperti model sebelumnya. Bateri 4500mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan pantas 25W, 15W tanpa wayar dan 4.5W pengecasan tanpa wayar berbalik. 


Secara keseluruhan, keupayaan bateri Samsung Galaxy S23 FE adalah baik dan memadai untuk penggunaan harian seperti media sosial, bermain games, mengambil gambar dan sebagainya. Untuk mendapatkan jangka hayat bateri yang lebih baik anda mungkin perlu mengubah beberapa tetapan seperti matikan fungsi AOD, guna kecerahan skrin yang rendah dan sebagainya.


Namun harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai penggunaan yang berbeza dan itu akan memberikan hasil yang berbeza. Untuk pengecasan, Samsung Galaxy S23 FE mengambil masa sekitar 80 minit untuk satu isian penuh, Namun, untuk pengecasan selama 30 minit ia mampu mendapatkan 65% bateri. 


Kamera



Samsung membawakan kemampuan kamera yang lebih pada Galaxy S23 FE berbanding pada model sebelumnya. Hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 8MP telefoto + 12MP ultra lebar.

Sepanjang percubaan kami, keupayaan kamera pada Samsung Galaxy S23 FE adalah baik. Untuk gambar dengan cahaya yang cukup, imej yang dihasilkan sangat baik dengan warna yang dihasilkan vibrant dalam masa yang sama masih dapat mengekalkan tahap perincian imej tersebut.



Sementara untuk keadaan kurang cahaya, Samsung Galaxy S23 FE dilihat kadang kala terlalu agresif untuk menghilangkan noise sekaligus memberikan hasil imej yang kurang perincian. Namun begitu, hasil imej yang diberikan masih lagi baik secara keseluruhan.


Selain itu, terdapat juga pelbagai mod kamera yang menarik dimuatkan pada peranti ini seperti pro video, hyper lapse, single take, director view dan lain-lain. Untuk rakaman video, ia menyokong rakaman sehingga 8K 24fps. Secara keseluruhan, keupayaan kamera pada Samsung Galaxy S23 FE sememangnya baik dan serba boleh.


Kesimpulan



Secara keseluruhan, Samsung masih lagi membawakan ideologi yang sama seperti mana yang ditawarkan pada model FE sebelumnya. Tampil dengan pakej yang lengkap, keupayaan yang serba boleh dan penawaran harga yang lebih mampu miik.


Pada hemat kami, Samsung berjaya mengembalikan semula kegemilangan yang ditinggalkan oleh Galaxy S21 FE. Namun, pada pendapat kami. Samsung mungkin perlu melakukan sesuatu yang berbeza untuk menjadikan siri FE yang seterusnya lebih baik dari apa yang ditawarkan pada ketika ini.


ARTIKEL BERKAITAN