Xiaomi telahpun menjadualkan acara pelancaran peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu siri Xiaomi 14 yang akan berlangsung pada 26 Oktober ini. Dengan hari pelancaran yang semakin hampir, telah ada beberapa imej awal yang didakwa sebagai Xiaomi 14 tertiris.
Merujuk kepada imej tersebut, memperlihatkan yang Xiaomi 14 akan hadir dengan bingkai jenis rata dengan kemasan jenis berkilat yang mungkin menggunakan bahan binaan dari stainless steel. Menggunakan skrin AMOLED jenis rata yang bersaiz 6.36-inci bersama dengan kamera swafoto jenis punch hole di bahagian tengah.
Turut dapat dilihat, terdapat butang kuasa dan butang suara yang diletakkan pada bahagian sisi sebelah kanan. Xiaomi 14 dilihat masih lagi mengekalkan rekaan kamera yang sama segi empat namun dengan susunan yang berbeza. Masih menggunakan tetapan tri-kamera belakang namun dengan sistem kamera Leica Summilux baharu yang menjanjikan pengalaman fotografi pada tahap tertinggi.
Tiada sebarang maklumat mengenai spesifikasi yang akan digunakan. Namun, Xiaomi telah mengesahkan yang peranti ini akan menjadi peranti terawal yang dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 3.