Google secara rasmi memperkenalkan model AI terbaru mereka yang dipanggil sebagai Gemini. Model AI baharu ini dikatakan lebih berkuasa dan berkebolehan. Gemini dibangunkan dengan bantuan Google Research dan Google DeepMind.
Gemini hadir dalam tiga saiz yang berbeza iaitu Ultra, Pro dan Nano. Model paling berkuasa iaitu Gemini Ultra hanya memfokuskan kepada tugasan yang sangat kompleks. Manakala Gemini Pro, ia diskalakan untuk tugasan yang pelbagai. Akhir sekali Gemini Nano, dibina untuk memfokuskan kepada tugasan pada peranti.
Gemini boleh memahami, menerangkan dan menjana kod berdasarkan bahasa pengaturcaraan seperti Python, Java, C++ dan Go. Selain itu, ia direka dengan kemampuan multi modal bermaksud ia boleh memahami pelbagai maklumat dalam bentuk imej, video, audio, teks, dan kod. Google mendakwa yang Gemini adalah lebih baik berbanding ChatGPT.
Google Bard bakal diintergrasikan dengan keupayaan Gemini Pro dan boleh diakses di 170 negara namun hanya ditawarkan dalam satu bahasa sahaja iaitu inggeris. Manakala, Google Pixel 8 Pro bakal jadi peranti pertama yang akan dijana dengan kemampuan Gemini Nano.
Gemini dijangka akan diintergrasikan kepada lebih banyak produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google pada masa akan datang.