Lenovo Malaysia kini membuka pra-tempahan untuk konsol mudah-alih mereka iaitu Legion Go. Merupakan konsol mudah-alih pertama dari Lenovo dan juga pesaing kepada ASUS ROG Ally dan Steam Deck.

Pada Oktober lalu, Lenovo Malaysia telahpun menyenaraikan Legion Go dalam dua pilihan varian iaitu cip Ryzen Z1 dan Ryzen Z1 Extreme yang dijual pada harga RM3099 dan RM3399. Namun penyenaraian tersebut telah dibuang. Dalam penyenaraian terbaru, ia ditawarkan dengan satu pilihan varian sahaja iaitu cip Ryzen Z1 Extreme dengan harga jualan RM600 lebih mahal iaitu RM3999.

Untuk spesifikasi, Legion Go hadir dengan skrin IPS Lenovo PureSight QHD+ yang bersaiz 8.8-inci dengan paparan 144Hz. Selain itu, ia turut menyokong kecerahan puncak 500 nits dan 97% warna gamut DCI-P3.

Dikuasakan dengan cip Ryzen Z1 Extreme yang dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5X, storan dalaman 512GB SSD PCIe 4.0 dan turut menyokong MikroSD sehingga 2TB. Dilengkapi dengan bateri 49.2Wh dengan pengecasan Super Rapid Charge yang mampu mengecas 70% hanya dalam 30 minit sahaja. Menjalankan sistem operasi Windows 11 sekaligus menyokong pelbagai platform seperti Epic Games Store, Steam dan lain-lain.

Tampil dengan dua alat kawalan yang boleh ditanggal seperti Nintendo Switch bersama dengan lampu RGB. Dari segi kawalan, terdapat butang D-pad, butang analog, ABXY, butang trigger, butang makro tambahan dan juga pad sesentuh.
Bagi yang berminat, Legion Go boleh dipra-tempah bermula 8 Disember hingga 17 Disember 2023. Setiap pra-tempahan akan menerima pelindung skrin secara percuma bernilai RM109 dan tawaran Belian dengan Belian (PWP) untuk Lenovo Legion E510 7.1 RGB Gaming In-Ear Headphones pada harga RM249 berbanding harga asal RM389.