Close

Pra-tempahan GTA VI dianggarkan mencecah $751 juta

Permainan Grand Theft Auto VI (GTA 6) dianggarkan telah menerima sekitar 7.51 juta pra-tempahan digital dengan nilai jualan mencecah kira-kira $751 juta (RM3.1 bilion).

Maklumat tersebut dikongsi oleh firma analitik Sensor Tower. Namun begitu, Rockstar Games dan syarikat induknya iaitu Take-Two Interactive belum mengesahkan jumlah sebenar pra-tempahan untuk permainan tersebut.

Daripada keseluruhan anggaran tersebut, sebanyak 5.74 juta pra-tempahan atau sekitar 74% datang daripada pengguna PlayStation 5. Manakala, selebihnya iaitu 1.97 juta bersamaan dengan 26% datang dari pengguna Xbox Series X|S.

Namun apa yang lebih menarik, purata perbelanjaan setiap pra-tempahan dianggarkan sekitar $97 (RM393), menunjukkan sebahagian besar pengguna mungkin memilih varian atau edisi permainan yang paling tinggi. Sebagai perbandingan, pada Ogos lalu data menunjukkan pra-tempahan untuk Ultimate Edition adalah sekitar 89% manakala 11% untuk Standard edition.

Walau bagaimanapun, anggaran atau angka tersebut hanya melibatkan pra-tempahan digital sahaja tidak merangkumi jualan salinan fizikal yang ditawarkan oleh peruncit. Permainan GTA 6 akan dilepaskan pada 19 November 2026 untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X|S.

ARTIKEL BERKAITAN