Sony mengumumkan angka jualan untuk konsol PlayStation 5 (PS5) telah melepasi 100 juta unit di seluruh dunia setakat November 2026.

Berdasarkan data yang dikongsi, PS5 telah melepasi 100 juta unit penghantaran dan pencapaian tersebut menjadikan PS5 sebagai konsol keempat yang berjaya mencapai angka berkenaan selepas PlayStation, PlayStation 2 dan PlayStation 4.
Walau bagaimanapun, PS5 mengambil masa yang lebih panjang iaitu hampir enam tahun untuk mencapai angka tersebut sejak ia mula dilancarkan pada November 2020. Sebagai perbandingan, PS4 dan PS2 mengambil sekitar lima tahun untnuk mencapai 100 juta unit.
Walaupun berjaya melepasi angka jualan 100 juta unit, prestasi penghantaran PS5 sebenarnya menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya. Penurunan tersebut berkemungkinan berpunca dari kenaikan harga konsol PS5 yang diumumkan Sony pada Mac lalu dan mula berkuat kuasa pada April 2026.
Pencapaian ini memperlihatkan kedudukan PlayStation sebagai antara jenama konsol permainan paling popular di dunia, meskipun Sony kini berdepan cabaran kenaikan kos perkakasan dan perubahan landskap industri permainan video.