Kerajaan Negeri Selangor akan menawarkan akses Gemini Enterprise selama setahun kepada 50,000 penduduk Selangor, menerusi inisiatif AI untuk rakyat yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2027.

Menurut Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Amirudin Shari, kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta bagi inisiatif tersebut, yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Google.
Program atau inisiatif ini terbuka kepada 50,000 rakyat Selangor daripada pelbagai latar belakang. Ini termasuk pelajar sekolah, mahasiswa universiti, usahawan, petani, pengasas syarikat pemula (startup) dan warga emas. Selain itu, peserta akan turut menerima pakej latihan secara dalam talian dan bersemuka.
Inisiatif berkenaan diperkenalkan bagi memastikan rakyat Selangor tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi digital yang semakin pesat. Kerajaan negeri juga mahu membentuk masyarakat yang celik AI, sekali gus mampu memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti selain memahami risiko penggunaannya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan terus komited memastikan penduduk Selangor dapat menikmati manfaat peningkatan produktiviti menerusi penggunaan teknologi AI sepanjang 2027. Maklumat lanjut mengenai kaedah pendaftaran, syarat kelayaan dan tarikh pelaksanaan program akses Gemini Enterprise dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.