Android bakal mengikuti jejak langkah Apple yang membolehkan pengguna melihat tahap kesihatan bateri atau battery health dan beberapa maklumat lain mengenai bateri dengan lebih mudah melalui tetapan sahaja.
Fungsi tersebut dilihat telah tersedia pada peranti Pixel dan diletakkan di bawah “battery information” pada bahagian tetapan. Untuk mengakses pergi ke bahagian tetapan dan pilih About phone. Melalui fungsi ini pengguna boleh mendapatkan beberapa maklumat seperti tarikh pengeluaran dan kiraan kitaran bateri.
Bukan itu sahaja, melalui API Android 14 yang didedahkan memperlihatkan beberapa maklumat lain akan turut boleh diakses seperti kesihatan bateri, tarikh penggunaan pertama, status pengecasan dan polisi pengecasan. Selain itu, fungsi ini turut memberikan maklumat tambahan lain seperti anggaran peratusan cas yang boleh disimpan oleh bateri dan juga recalibration battery.
Pada masa akan datang, Google dijangka akan memuatkan lebih banyak maklumat mengenai bateri yang boleh dilihat oleh pengguna seperti bateri Unsupported, Original dan Replaced. Fungsi ini dijangka akan memudahkan pengguna membuat anggaran masa untuk penukaran bateri baru.