Close

Ulasan OPPO Reno11 Pro 5G – Spesifikasi memikat dengan kamera yang mantap

OPPO telahpun memperkenalkan barisan baru di bawah siri Reno. Seperti yang kita tahu, siri Reno lebih memfokuskan kepada kemampuan kamera yang lebih baik setanding peranti andalan.

Pada Reno11 Pro 5G, OPPO turut membawakan idea yang sama namun dengan spesifikasi yang lebih menarik sesuai dengan penawarannya.

Rekaan

Perubahan yang mungkin anda perasan adalah mengenai rekaannya. Tidak seperti model sebelumnya, Reno 11 Pro tampil dengan rekaan yang lebih menarik dan elegan. Menggunakan gabungan bahan binaan premium dengan bingkai jenis logam dan panel belakang jenis kaca. Gabungan ini memberikan rasa mewah dan selesa bila dipegang.

Kemasan panel belakang peranti ini sememangnya unik. Kemasan ini digabungan dengan pilihan warna putih dan juga corak abstrak untuk memberikan kesan yang lebih menarik dan tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari. Perincian tersebut dapat dilihat melalui bintik-bintik yang bersinar apabila terkena cahaya.

Menjadikan peranti ini lebih premium, ia hadir dengan rekaan yang nipis dan ringan dengan berat hanya 181gram dan tebal 7.59m lebih nipis dan ringan berbanding model sebelumnya. Menggunakan rekaan 3D curved glass yang melengkung pada skrin hadapan dan panel belakang. Dengan rekaan ini, peranti ini terasa nipis dan selesa bila dipegang.

Skrin

Reno 11 Pro 5G hadir dengan skrin AMOLED jenis melengkung bersaiz 6.7-inci dengan resolusi 2412 x 1080. Turut menyokong paparan dinamik 120Hz, 10-bit display, HDR10+ dan kecerahan puncak 950 nits. Rekaan skrin melengkung menjadikan peranti ini tampak premium dalam masa yang sama menjanjikan pengalaman pengguna yang baik.

Rekaan skrin Reno11 Pro 5G adalah jenis simetri iaitu sama pada setiap sisi. Rekaan ini menjadikan ia lebih selesa apabila dipegang dan ketika digunakan. Keupayaan skrin peranti ini juga amat baik dengan warna yang dihasilkan vibrant dan terang serta mempunyai sudut pandang yang jelas.

Secara keseluruhan, keupayaan skrin pada OPPO Reno11 Pro 5G adalah amat baik dan imersif setanding dengan barisan peranti premium yang ada di pasaran ketika ini.

Prestasi

OPPO Reno11 Pro 5G dijana dengan cip Dimensity 8200 yang dibina dengan teknologi binaan 4nm. Hadir dengan konfigurasi 1+3+4 dengan 1x Cortex A-78 dengan kelajuan sehingga 3.1Ghz, 3x Cortex-A78 dengan 3.0Ghz dan 4x Cortex-A55 dengan 2.0Ghz. Menawarkan peningkatan prestasi 80% lebih pantas berbanding dengan model sebelumnya.

Sepanjang percubaan kami, cip Dimensity 8200 berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan cemerlang. Tiada sebarang masalah yang dihadapi ketika digunakan, penukaran aplikasi sangat lancar biarpun menjalankan lebih dari lima atau lapan aplikasi dibelakang. Kebanyakkan permainan boleh dimainkan dengan lancar dan boleh dimainkan pada tetapan tinggi.

Dimuatkan dengan bateri 4600mAh yang menyokong pengecasan SuperVOOC 80W yang mampu mengecas 0% ke 100% hanya dalam 28 minit sahaja. Selain itu, Reno11 Pro 5G ini turut dimuatkan dengan fungsi LinkBoost yang mengoptimuman rangkaian untuk menjadi lebih stabil.

Sistem operasi

Reno11 Pro 5G menjalankan sistem operasi ColorOS 14 berasaskan kepada Android 14. Sistem operasi baru ini dikuasakan dengan enjin trinity yang menjanjikan kelancaran dan kestabilan yang lebih baik berbanding sistem operasi sebelumnya.

Dari segi antara muka, ColorOS 14 hadir dengan antara muka baru yang dipanggil Aquamorphic. Melaluinya, ia menawarkan lebih banyak pilihan yang boleh diubahsuai oleh pengguna seperti always-on-display yang boleh diintegrasikan dengan pelbagai aplikasi, ikon yang lebih dinamik, widget baharu dan lain-lain.

Terdapat juga pelbagai fungsi baru yang dapat meningkatkan produktiviti pengguna seperti File Dock, Smart Touch, Smart Image Matting dan sebagainya.

Secara jujurnya, kami bukan peminat kepada ColorOS. Namun, pada Reno11 Pro 5G ia memberikan tanggapan berbeza mengenainya. ColorOS 14 dilihat lebih mudah untuk digunakan dan difahami. Fungsi gesture yang ditawarkan juga sangat responsif dan efisien untuk digunakan.

Kamera

OPPO Reno11 Pro 5G hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS IMX890 + 32MP OIS telefoto IMX709 + 8MP ultra lebar IMX355. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor sebesar 32MP.

Setiap imej yang dihasilkan tampak baik dengan warna yang dihasilkan tepat dengan situasi dan perincian imej dapat dikekalkan dengan baik dalam pelbagai situasi. Terima kasih kepada fungsi HyperTone Imaging Engine yang memastikan tona warna yang dihasilkan hampir sama seperti keadaan sebenar.

Untuk kamera portret, ia memberikan hasil imej yang lebih terperinci dan lebih jelas dengan potongan bokeh tampak lebih kemas. Selain itu, warna yang dihasilkan nampak lebih semula jadi dan lebih terang.

Selain itu, keupayaan swafoto peranti ini juga amat baik. Imej yang dihasilkan pada keadaan kurang cahaya amat mengagumkan dengan perincian dan warna yang dapat dikekalkan. Apa yang boleh dikatakan, Reno11 Pro 5G sememangnya mempunyai kualiti kamera yang terbaik dalam kelasnya.

Kesimpulan

Pada ketika ini, terdapat pelbagai peranti kelas pertengahan menawarkan spesifikasi yang hampir serupa. Namun, Reno11 Pro 5G menawarkan kemampuan sesuatu yang berbeza dari apa yang ada dipasaran.

Mungkin boleh dikatakan Reno11 Pro 5G adalah sebuah peranti dengan pakej yang lengkap. Prestasi yang berkuasa, kamera setanding peranti andalan dan mempunyai pelbagai fungsi menarik. Sekiranya anda mencari peranti yang sesuai untuk pelbagai penggunaan dengan kemampuan kamera sebaris peranti andalan Reno11 Pro 5G adalah jawapannya.

ARTIKEL BERKAITAN