Vivo Malaysia telahpun menawarkan siri vivo X100 ke pasaran tempatan. Seperti yang kita tahu, siri vivo X lebih memfokuskan kepada kemampuan kamera yang lebih baik melalui kerjasama Zeiss. Tidak ketinggalan, ia turut hadir dengan spesifikasi yang menarik sesuai dengan penawaran harganya.
Berbeza dengan penawaran sebelum ini, vivo X100 Pro kini hadir dengan ZEISS APO Telephoto Floating Camera yang menjanjikan hasil yang imej yang lebih baik dan lebih terperinci dari model sebelumnya.
Kamera unggul dalam kelasnya
Perkara paling menarik mengenai X100 Pro adalah pada kemampuan kamera. Seperti pada model sebelumnya, keupayaan kamera pada peranti masih lagi mempunyai sentuhan dari ZEISS. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP 1-inci Sony IMX989 + 50MP sudut lebar + 50MP telefoto periskop dengan 4.3x zum optik dan 100x zum digital. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor sebesar 32MP.
Kamera utama X100 Pro ini menggunakan sensor sebesar 1-inci dengan ZEISS Optic Lens Coating yang telah dipertingkat dengan 20% lebih baik berbanding model sebelumnya. Peningkatan ini ia menjanjikan hasil imej yang lebih terang dan juga lebih jelas. Keupayaan kamera ini turut dibantu dengan teknologi ZEISS APO Floating Telephoto baharu. Teknologi ini membolehkan kualiti imej yang dihasilkan pada jarak 6x atau 10x menjadi lebih baik biarpun pada keadaan kurang cahaya. Selain itu, ia mampu menghasilkan imej jarak dekat yang lebih teperinci dan lebih realistik.
Bukan itu sahaja, X100 Pro ini turut hadir dengan fungsi ZEISS Multifocal Portrait yang membolehkan imej potret diambil dengan 5 focal length yang berbeza dari 24mm hingga 100mm. Setiap focal length ini menawarkan kualiti imej yang sangat baik dan terperinci. Fungsi ini turut membantu untuk memberikan imej potret yang lebih baik dengan bokeh yang lebih semula jadi.
Selain itu, vivo turut memuatkan beberapa mod menarik untuk menjadikan kamera X100 Pro ini lebih versatile. Antara mod yang ditawarkan adalah seperti Telephoto Nighscape dan Telephoto Sunshoot. Untuk Telephoto Nightscape, ia membolehkan imej telefoto yang diambil pada keadaan kurang cahaya menjadi lebih jelas dan terperinci. Manakala Telephoto Sunshoot membolehkan anda merakam imej matahari terbit atau terbenam dengan lebih mudah dan lebih menarik.
Rekaan yang menonjol
Walaupun masih membawakan rekaan yang hampir sama seperti model sebelumnya namun terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh vivo pada X100 Pro. Perubahan ketara yang mungkin dapat dilihat adalah pada rekaan kamera belakang yang lebih menonjol dan elegan. Rekaan kamera ini dipanggil sebagai moon halo design dan dibina menggunakan bahan binaan premium.
Kemasan panel belakang juga turut diberi nafas baru dengan kemasan jenis kesat dan mempunyai corak abstrak yang dipanggil sebagai Sunburst texture. Corak abstrak tersebut lebih menyerlah apabila terkena cahaya. Kemasan ini menjadikan X100 Pro ini terasa premium apabila dipegang.
Tampil dengan skrin 8T LTPO AMOLED jenis melengkung yang bersaiz 6.78-inci yang menjanjikan pengalaman pengguna yang sangat baik. Turut menyokong paparan 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 3000 nits, merupakan peranti dengan kecerahan tertinggi ketika ini. Keupayaan skrin peranti ini adalah sangat baik dengan warna yang dihasilkan vibrant dan terang untuk penggunaan di luar serta mempunyai sudut pandang yang jelas.
Secara keseluruhan, rekaan yang digunakan pada vivo X100 Pro sememangnya sangat cantik dan menarik. Gabungan pelbagai elemen telah menjadikan ia lebih unik berbanding peranti lain di pasaran. Mungkin tidak keterlaluan untuk menyatakan yang rekaan vivo X100 Pro berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Prestasi tanpa batasan untuk semua tugasan
X100 Pro dijana dengan cip Dimensity MediaTek 9300 yang dibina dengan teknologi binaan 4nm dari TSMC. MediaTek menyatakan yang Dimensity 9300 adalah 40% lebih pantas, 33% lebih jimat kuasa dan 8% lebih cekap kuasa berbanding cip sebelumnya. Keupayaan cip ini turut dipadankan cip vivo V3 yang menyokong rakaman pada resolusi 4K Cinematic Video dalam masa menawarkan pengalaman bermain dengan lebih baik melalui Games super resolution. Dari segi konfigurasi memori, ia hadir dengan 32GB RAM dengan virtual ram dan storan dalaman 512GB.
Prestasi bukan masalah utama pada vivo X100 Pro. Semua aplikasi, tugasan mahupun permainan dapat dijalankan dengan cemerlang tanpa sebarang masalah. Selain itu, tiada masalah kepanasan yang melampau ditemui sepanjang penggunaan.
Selain prestasi yang mengagumkan, keupayaan bateri pada X100 Pro juga sangat baik. Dimuatkan dengan bateri 5400mAh yang turut menyokong pengecasan pantas FlashCharge 100W berwayar dan 50W tanpa wayar. vivo menyatakan yang peranti ini mampu mengecas dari 1% ke 50% hanya dalam masa 14 minit sahaja. Lebih menarik, dengan hanya 10% bateri ia mampu bertahan sehingga 1 jam penggunaan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, apa yang boleh dikatakan adalah X100 Pro adalah sebuah peranti yang lengkap dan berbaloi untuk dimiliki. Pendekatan dan penawaran yang dibawakan oleh vivo pada peranti ini cukup menarik yang merangkumi pelbagai aspek seperti dari rekaan, binaan, prestasi, bateri dan semestinya kemampuan kamera yang terbaik dalam kelasnya. Sekiranya anda mencari sebuah peranti yang lengkap dan versatile, X100 Pro mungkin pilihan tepat untuk anda.
Sekiranya berminat, X100 Pro boleh didapatkan melalui laman web rasmi atau secara atas talian Shopee dan Lazada vivo Malaysia. Untuk harga jualan, X100 Pro dijual pada harga RM4599 untuk 16GB + 512GB. Terdapat juga pilihan lebih murah iaitu X100 yang dijual pada harga RM3499 untuk 16GB + 512GB.